kawan bob mah sing

MINGGU lalu, tindakan seorang pemandu Proton Waja merempuh anggota polis di persimpangan lampu isyarat Sierramas, Sungai Buloh menjadi perhatian ramai selepas video merakamkan detik cemas itu tular dalam media sosial.

Akibatnya, pemandu berkenaan Mustaza Mustaffa, 35, didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini atas dua pertuduhan cubaan membunuh yang membawa hukuman penjawa sehingga 20 tahun.

Pembantu kedai makan itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah termasuk pertuduhan memiliki senjata berbahaya.

Tertuduh membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin.

Mengikut pertuduhan pertama, Mustaza didakwa cuba membunuh Koperal M Amareisan dan Koperal Mohd Edham Zakaria dengan mengundurkan kenderaan secara laju serta cuba melanggar kedua-dua mangsa terbabit.

Memetik laporan BH Onlie, dia didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Mustaza turut mengaku tidak bersalah atas tuduhan memiliki senjata berbahaya iaitu kapak berhulu kayu di tempat awam tanpa kebenaran, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jamaludin Mat.

Dia didakwa mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga tujuh tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret dia turut mengaku tidak bersalah atas empat lagi pertuduhan melakukan khianat dengan merosakkan empat kenderaan, masing-masing sebuah Toyota Velfire, lori, pacuan empat roda Lexus dan Perodua MyVi.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum setahun, denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Di mahkamah sama, Mustaza turut mengaku tidak bersalah atas tuduhan gagal mengemukakan kad pengenalan mengikut Peraturan 7(1A) Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun.

Dia juga dituduh bersama rakannya, Khairul Fazily Fadzil, 40, atas kesalahan menghalang penjawat awam iaitu dua anggota polis Amaresan dan Mohd Idham mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun, atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian membenarkan Mustaza diikat jamin RM43,000 bagi kesemua pertuduhan, manakala Khairul Fazily tidak diberikan jaminan kerana tiada penjamin, selain menetapkan 19 April depan sebagai tarikh sebutan semula.

Baca artikel berkaitan: Sepandai-pandai Bob Mah Sing, tumpas juga di tangan polis

Sementara itu, Khairul Fazily atau dikenali Bob Mah Sing didakwa di Mahkamah Sesyen kerana berada bersama-sama Mustaza yang memiliki senjata berbahaya mengikut Seksyen 5 Akta Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang membawa hukuman penjara antara lima hingga tujuh tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di lampu isyarat susur kiri Jalan Kuala Selangor menghala ke Kepong, Damansara di sini, kira-kira jam 12.30 tengah hari, pada 26 Februari lalu.

Semua pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Alison Chan May Kam, Atifah Hazimah Wahab dan Shanur Farrahin Shapri, manakala Mustaza diwakili peguam Datuk Suraj Singh serta Datin Raj Preet Kaur. Khairul Fazily pula tidak diwakili peguam.

Sebelum ini, tular video berdurasi satu minit 45 saat menunjukkan polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah tayar kereta Proton Waja dinaiki suspek yang enggan memberhentikan kenderaan, ketika ditahan.

Kenderaan bernombor pendaftaran MAS 175 itu dilihat melanggar bahagian belakang lori dan sisi kereta Perodua Myvi untuk mencelah di persimpangan lampu isyarat Sierramas, Sungai Buloh, di sini.

Polis kemudian menahan seorang suspek berusia 35 tahun di kawasan perumahan di Desa Aman hasil maklumat orang awam, sebelum menjalankan operasi memburu Bob Mah Sing yang melarikan diri.

Seterusnya, Bob, yang masih bujang dan penganggur, memiliki enam rekod jenayah dan 14 rekod dadah, berjaya diberkas ketika bersembunyi di sebuah pangsapuri di Jalan Pluto, Seksyen U5, Shah Alam, jam 11.45 malam 26 Februari lalu.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram