Sarvesh Kumar memenggal kepala anak perempuannya berusia 17 tahun di Kampung Pandetara dekat negeri Uttar Pradesh, semalam.

MUMBAI – Seorang bapa di India tergamak memenggal kepala anak perempuannya sendiri sebelum membawa kepala itu ke jalan raya kerana tidak merestui percintaannya dengan teman lelakinya.

Mail Online melaporkan, penduduk melihat Sarvesh Kumar berjalan dengan menjinjing kepala anak perempuannya berusia 17 tahun di Kampung Pandetara dekat negeri Uttar Pradesh, semalam.

Sarvesh Kumar berjalan dengan menjinjing kepala anak perempuannya berusia 17 tahun di Kampung Pandetara dekat negeri Uttar Pradesh, semalam.

Ketika kejadian, Kumar dilapor dalam perjalanan ke balai polis selepas memenggal kepala anaknya, dalam apa yang didakwanya sebagai pembunuhan kehormat.

Pegawai polis kemudiannya bertanyakan nama lelaki itu, dari mana dia datang dan milik siapa kepala tersebut.

NDTV melaporkan, Kumar kemudiannya mengaku melakukan pembunuhan itu dengan benda tajam selepas tidak gembira dengan hubungan cinta anak perempuannya.

“Saya yang lakukannya dan tiada orang lain. Mayatnya ada di biliknya,” kata Kumar.

Dia juga mendakwa akan membunuh lelaki yang bercinta dengan anaknya jika menemuinya.

Kumar kemudiannya ditahan reman manakala isterinya turut ditahan bagi membantu siasatan.

Polis menemukan mayat gadis itu di kediaman keluarga terbabit dan membawanya untuk dibedah siasat.

Menurut media tempatan, seorang anggota polis turut digantung tugas selepas dirakam secara cuai membawa kepala itu.

Data Biro Rekod Jenayah Kebangsaan mendedahkan Uttar Pradesh mencatatkan jumlah tertinggi jenayah ke atas wanita pada 2019.

Negeri itu juga merekodkan angka tertinggi jenayah ke atas kanak-kanak dengan 7,444 kes diikuti oleh Madhya Pradesh (6,503) dan Maharashtra (6,402).