syed yazid
SYED YAZID Syed Omar (kanan) ketika sedang memimpin pasukan Presiden Kuala Lumpur.

MEMBELA nasib para jurulatih tempatan yang kerap dianaktirikan pasukan-pasukan Liga Malaysia merupakan antara wawasan besar Syed Yazid Syed Omar sekiranya dipilih sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Beliau yang juga Naib Presiden 1 Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (PBKL), dicalonkan dalam kalangan 17 nama bagi merebut lapan kerusi Ahli Exco (lelaki) FAM menjelang Kongres pemilihan penggal 2021-2025 pada 13 Mac ini.

Anak jati Kampung Baru, Kuala Lumpur itu berkata: “Kita perlukan lebih ramai jurulatih yang berlesen dan berkelayakan profesional. Mewujudkan Akademi Khas Jurulatih Bola Sepak juga antara syor saya yang patut diperjuangkan bersama FAM.

“Kebanyakan pasukan Liga M memilih untuk mencapai kejayaan segera dengan bertumpu kepada jurulatih asing semata-mata sampai jurulatih tempatan jadi macam anak tiri dan kian terpinggir.

“Jurulatih tempatan ini sudah mempunyai lesen pro tetapi tempat mereka dalam pasukan-pasukan Liga M kerap dinafikan. Kecenderungan sebegini perlu dihentikan,” kata Syed Yazid, 43.

BERITA BERKAITAN: Skandal rasuah 94 yang menumpaskan bola sepak negara

Penubuhan Akademi Khas Jurulatih Bola Sepak juga jelasnya, akan membuka satu lagi alternatif peluang pekerjaan baharu kepada para jurulatih tempatan supaya ilmu, bakat, pengalaman dan kemahiran mereka mampu diturunkan kepada jurulatih generasi baharu.

“Bola sepak Malaysia juga perlukan lebih ramai jurulatih berlesen pro seperti yang disyaratkan FAM dan AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) dalam melatih pasukan Liga Malaysia.

“Kita tidak mahu lagi ada kes jurulatih tempatan sebab tanpa lesen itu, terpaksa didaftarkan sebagai penolong sahaja dan memberikan laluan kepada jurulatih import menjadi ketua jurulatih sesebuah pasukan,” kata pemilik sebuah syarikat logistik ini.

Beliau tidak sesekali hanya menyertai persaingan kerusi Exco FAM secara semberono atau tanpa ilmu dan pengalaman bola sepak di dada kerana beliau adalah bekas pengurus pasukan Piala Presiden dan Piala Emas Raja-raja Kuala Lumpur.

Selain itu Syed Yazid pernah menjadi pemangku jurulatih Liga Perdana dan pengurus pasukan Sukan Malaysia (Sukma) Kuala Lumpur serta memiliki Lesen Kejurulatihan C.

Enam penyandang Ahli Exco FAM ialah Datuk Mohd. Hisamudin Yahaya, Datuk Jefferey Low Han Chau, Christopher Raj Aralanthu, Md. Dali Wahid, Datuk Kamarul Ariffin Mohd. Shahar dan Datuk Aminuddin Omar.

Calon pencabar lain termasuk Datuk Seri Shahril Mokhtar, Saaran Nadarajah, Datuk Adly Shah Ahmad Tah, Datuk Shaari Mat Hussain, Abdul Aziz Yeop Jamaludin, Zulkefly Yahya, Datuk Muhammad Yadzan Mohammad, Mohd. Firdaus Ahmad, Mohd. Yusuri Yusof dan Datuk Kamarudin Hassan. – UtusanTV