PENULARAN Covid-19 sejak awal tahun lalu memberi impak besar lebih-lebih lagi kepada usahawan tempatan selepas kira-kira 8.5 peratus usahawan terpaksa menghentikan operasi.

Pada masa sama, 58 peratus lagi berdepan pelbagai masalah sehingga menjejaskan operasi perniagaan masing-masing.

Walau bagaimanapun, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mas Ermieyati Samsudin memberi jaminan pelbagai usaha dan inisiatif telah serta sedang dilaksanakan bagi memulihkan usahawan yang terjejas daripada terus berdepan kesulitan.

“Menyedari implikasi besar pandemik ini terhadap usahawan, kementerian telah membangunkan Pelan Pemulihan usahawan dan Koperasi khusus untuk memastikan kelestarian serta pemulihan perniagaan mereka yang terlibat,” katanya seperti dilaporkan BERNAMA.

Baca artikel berkaitan: Usahawan belia TUBE catat RM127.17 juta nilai jualan

“Pernah ditipu pelanggan, bila sampai lelaki yang tunggu bukannya wanita” | Permata Usahawan ep.4

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pasaraya Coop Ummah milik Koperasi Ummah Berhad yang turut dihadiri Timbalan Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Zazali Harun dan Pengerusi Koperasi Ummah Berhad, Sabariah Mohd. Noor.

Untuk rekod, pelaksanaan fasa pertama pelan berkenaan yang bermula Mei hingga Disember 2020 melibatkan peruntukan RM171 juta kepada 12,138 penerima manfaat dengan 96.52 peratus adalah dalam kalangan bumiputera manakala fasa kedua mulai Januari hingga Mei 2021 melibatkan peruntukan RM17.1 juta.

Mas Ermieyati juga berkata terdapat 30 peratus koperasi di seluruh negara dikesan tidak aktif dan SKM sedang membuat pengesanan supaya dapat dibantu untuk kembali aktif.

“SKM sentiasa membantu ahli koperasi yang bermasalah untuk memberi khidmat nasihat dan bimbingan termasuk membantu mengubah semula pelan perniagaan mereka sebelum ini yang dikatakan tidak memberi pulangan setimpal.

“Bukan mudah kita nak tubuhkan satu-satu koperasi jadi sayang kalau dibiarkan ia tidak aktif atau terpaksa ditutup,” katanya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram