Anda sedang memandu kereta. Tiba-tiba kedengaran bunyi siren ambulans. Semua kenderaan akan mula memberikan laluan buat ambulans itu. Ini situasi biasa yang kita lihat pada hari ini

Tahukah anda bila dan bagaimana sebenarnya asal usul ambulans?

Semuanya bermula sejak kurun ke- 11, ambulans pertama dipercayai diasaskan oleh Raja William 1. Namun, ambulans pada ketika itu bukanlah seperti apa yang kita lihat pada masa sekarang.

Pada ketika itu, ambulans yang dimaksudkan merupakan sebuah tandu yang dipacu oleh kuda.  Ambulans digunakan semata-mata untuk membawa askar yang cedera sewaktu perang untuk mendapatkan rawatan.

Ambulans yang lebih formal muncul sekitar kurun ke-15 apabila Isabella dan Ferdinand dari Sepanyol memperkenalkan ambulans atau hospital bergerak ini.  Dalam bahasa Sepanyol, ia dikenali dengan nama Ambulancias.

Konsep ambulans kemudian dikembangkan lagi oleh Dominique Jean Larry sekitar kurun ke 17. Dominique yang juga seorang doktor bedah mendapat idea ini sewaktu melihat kesakitan yang ditanggung oleh askar-askar yang tercedera sewaktu peperangan. Dominique mencipta sebuah gerabak yang lengkap dengan segala peralatan seperti katil untuk membawa pesakit. 

Kereta itu pula ditarik oleh kuda, keldai dan juga unta untuk membawa pesakit ke tempat rawatan. Semakin hari, ambulans yang dicipta mendapat penambah baikkan menjadikan ia lebih mudah untuk dikendalikan.

Sekitar tahun 1860-an, sebuah ambulans dengan lantai yang boleh ditarik keluar bagi memudahkan pesakit untuk dipindahkan telah dibina. Beberapa peralatan seperti selimut, dan kayu andal juga diletakkan di bawah kerusi pemandu.

Perkembangan dunia automotif memberikan nafas baru buat ambulans. Pada tahun 1899, sewaktu perang dunia yang pertama, kebanyakan ambulans merupakan ubahan daripada bas dan teksi.

Pembuat ambulans tertua di dunia ialah syarikat Hess and Eisenhardt di Ohio, Amerika Syarikat. Semenjak itu, seiring dengan perkembangan dunia, keadaan ambulans juga semakin maju. Kini, pelbagai peralatan dan perkakas perubatan ada di dalam ambulans disediakan khas untuk memberi bantuan kepada pesakit sementara dalam perjalanan ke hospital