masa

PENGURUSAN masa dalam hidup adalah sangat penting lebih-lebih lagi pada zaman pandemik Covid-19 yang sedang kita hadapi ketika ini.

Justeru itu, empat orang anak muda berbakat besar, Baal, Amzeeq, Yonnyboii dan Izhar menghasilkan sebuah karya berjudul Masa untuk dikaitkan dengan pelbagai perkara termasuklah dalam urusan harian.

Lebih menarik, dari sudut pandang Amzeeq, dia mengatakan anak-anak muda masa kini lebih suka membuang masa dengan melakukan perkara yang kurang berfaedah lalu menjadikan tujuan lagu ini ditulis adalah untuk menggalakkan mereka untuk bertindak keluar daripada kotak “malas” sementara masih muda.

“Zaman muda ni zaman kena pulun! Biar tak selalu asalkan ada progres, tujuan saya bawakan lagu ini adalah untuk mengajak anak-anak muda lebih bersemangat untuk mengejar cita-cita dan impian mereka dalam apa jua bidang yang diminati” katanya.

Sementara itu, menurut Baal, lagu Masa sangat bersesuaian untuk dijamu kepada para pendengar kerana ia telah disuntik dengan isi tersurat dan tersirat. Pendengar sedikit sebanyak dapat menikmati karya karya anak muda yang lebih untuk memberi ikhtibar mahupun nasihat dengan nyanyian.

“Harapan saya, dengan lagu Masa ini, ia dapat mengubah persepsi anak-anak muda yang masih mempunyai peluang bagi membentuk kehidupan mereka dengan lebih sempurna kerana mereka mempunyai potensi untuk menjadi pemimpin yang hebat untuk suatu masa akan datang.

“Walau bagaimanapun, perubahan perlu dilakukan dengan usaha dan saya berharap lagu Masa dapat membuka ruang-ruang yang baharu dan berbaloi” katanya kepada URTV.

Izhar menyatakan dia dijemput oleh Baal dan Amzeeq ke studio untuk bekerjasama dalam lagu ini pada 23 Februari tahun lalu, dan berjaya menyiapkan penulisan dan rakaman ‘verse’nya pada hari yang sama.

“Mereka begitu baik sekali dan membuat saya selesa untuk bekerja. Ini adalah pertama kali saya bekerjasama dengan mereka dan saya rasa beruntung dapat meluahkan perasaan saya melalui lagi ini.

“Terima kasih kepada Baal dan Amzeeq kerana sudi mengajak saya untuk berkolaborasi bersama Yonnyboii dan berkerjasama untuk lagu ini,” luah Izhar.

Tambahnya lagi, single Masa ini tidak ada kena mengena dengan sesiapa sama ada yang masih hidup mahupun yang sudah meninggal dunia.

Katanya, penulisan liriknya hanya menceritakan tentang diri sendiri ketika berada di tempat yang sukar dan menghadapi kekangan hidup susah.

“Harapan saya untuk lagu Masa cukup lah buat saya gembira kalau keluarga dan rakan-rakan saya suka. Dan harapan saya agar lagu ini diterima oleh semua serta mendapat sambutan daripada peminat hip hop ‘underground’ Malaysia” ujarnya.

Masa kini sudah tersedia di semua pelantar pengstriman digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBOX, Deezer dan YouTube Music sejak 5 Mac lalu.