WALAUPUN telah menolak kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) telah diminta untuk terus menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) sehingga Parlimen dibubarkan.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ia penting bagi memastikan kerajaan sedia ada dapat melakukan yang terbaik dalam usaha mengekang pandemik Covid-19.

Beliau malah berkata, kerajaan ketika ini adalah kerajaan campuran, bukan hanya melibatkan PN sahaja.

“Kerajaan sekarang adalah kerajaan campuran, ia bukan hanya kerajaan PN tetapi juga kerajaan BN dan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Sehingga pembubaran (Parlimen), kami masih bersama dalam kerajaan campuran ini,” katanya seperti dilapor BERNAMA.

Ahmad ditemui selepas menerima suntikan vaksinasi Covid-19 di Klinik Kesihatan Pontian, hari ini.

Turut menerima suntikan vaksin itu adalah Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang, Muhammad Taqiuddin Che Man.

Baru-baru ini, UMNO menghantar surat kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Bersatu berhubung keputusan MT parti itu untuk menamatkan kerjasama dengan Bersatu dan PN menjelang PRU-15.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin kemudiannya berkata, parti itu memandang serius kandungan surat Presiden UMNO bertarikh 26 Februari lalu kerana ia mempunyai implikasi yang besar terhadap kerjasama di masa hadapan antara UMNO, Bersatu dan PN.

Hamzah berkata, Bersatu memutuskan untuk terus fokus memperkasakan gerak kerja bersama rakan-rakan dalam Parti PN iaitu Pas, STAR, SAPP dan Gerakan berlandaskan perjuangan yang jujur dan ikhlas kepada rakyat bagi memenangi pilihanraya akan datang.

Baca artikel berkaitan: Ini keputusan lebih 100 bahagian UMNO – Tok Mat

Annuar bidas Zahid, isi kenyataan media hampir dengan Anwar

Semalam, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berkata keputusan Majlis Tertinggi (MT) menolak kerjasama dengan Bersatu merupakan keputusan lebih 100 bahagian UMNO dan bukannya keputusan individu.

Menurut beliau, keputusan MT dalam mesyuarat di Janda Baik baru-baru ini tidak dipengaruhi mana-mana individu.

Sebaliknya kata beliau, lebih 100 bahagian menggesa supaya UMNO tidak meneruskan kerjasama dengan Bersatu dan ia bukannya keputusan perseorangan.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram