Parlimen bersidang
Mustapa Mohamed bersama Mohd Zuki Ali meninjau tapak projek RKAT di Kem Tumbi Jeli hari ini./ Gambar FB Mindef

TAHUN ini sepatutnya bermula Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) selepas rancangan pembangunan sebelum ini yang bermula 2016 genap tempoh lima tahun pada 2020.

Namun kerana sesi Parlimen ditangguhkan setelah kerajaan berpendapat tiada keperluan untuk bersidang berikutan pengisytiaharan darurat COVID-19, RMK-12 masih belum dapat dibentangkan.

Walau bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed memberi jaminan RMK-12 yang sudah siap sepenuhnya akan dibentangkan sebaik Dewan Rakyat kembali bersidang.

Menurut beliau, ketika ini RMK-12 akan dikemas kini dari semasa ke semasa, termasuk dari segi angka dan strategi.

“RMK-12 sudah siap sebenarnya tetapi disebabkan pandemik (COVID-19), menuntut kami untuk melihat semula beberapa strategi serta angka dan proses ini berjalan secara berterusan.

“Sebaik Parlimen bersidang atau kerajaan minta bentang, kita siap sedia,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan di tapak projek pembinaan rumah keluarga angkatan tentera (RKAT) Kem Tumbi di Jeli hari ini.

Baca artikel berkaitan: Sidang Parlimen ditangguh hingga 1 Ogos – Takiyuddin

Memetik laporan BH Online, Mustapa yang juga Ahli Parlimen Jeli bersama dalam lawatan kerja Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali ke tapak pembinaan terbabit.

Turut bersama dalam lawatan ini Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd Aziz.

Ketibaan delegasi ini disambut oleh Panglima Briged Ke-30 Infantri Malaysia (30 Bgd) Brigadier Jeneral Mohd Zaki Abu.

Lawatan ini bagi meninjau kemajuan pembinaan 135 unit RKAT pelbagai kelas di atas tanah seluas 13.01 ekar yang telah dimulakan pada 3 September 2019 dan dijadual siap pada tahun hadapan.

Sehingga 11 Februari 2021, kemajuan sebenar projek ini mendahului 18 peratus (168 hari) berbanding jadual kerja ekoran komitmen yang baik daripada syarikat kontraktor utama.

RKAT yang membabitkan kos RM58 juta akan diserahkan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk kegunaan Batalion Ke-2 Rejimen Sempadan (RS) dan dijangka siap pada Februari 2022 iaitu enam bulan lebih awal dari jangkaan.

Mustapa berkata, pelaksanaan sebarang projek pembinaan mengikut jadual atau lebih awal daripada jangkaan adalah penting bagi merancakkan pembangunan ekonomi negara.

“Di bawah Jawatankuasa Pelaksanaan Projek Pembangunan Negara yang dipengerusikan bersama Ketua Setiausaha Negara, kami sudah mengadakan beberapa mesyuarat bagi memastikan semua projek untuk 2021 berjalan lancar.

“Terdapat banyak projek di bawah RMK-11 sebelum ini yang tertangguh disebabkan pelbagai isu, terutama berikutan pandemik COVID-19,” katanya.

Beliau berkata, tahun ini, pihaknya memperuntukkan RM69 bilion untuk projek pembangunan dan mengikut laporan diterima, ada pihak mengatakan angka itu tidak dapat dibelanjakan sepenuhnya.

“Bagi Kelantan pula, kita memperuntukkan RM1.85 bilion dan akan pastikan ia dibelanjakan 100 peratus,” katanya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram