Wan Junaidi Tuanku Jaafar (dua dari kiri) menyampaikan anugerah kepada Mohammad Azmir Zahir yang cemerlang hasil mengikuti program IBBC Homestay pada Majlis Penyerahan Sijil Program IBBC Homestay dan BBEP Kohort 7 2020 bertempat di Kota Bharu semalam.

INSTITUT Keusahawanan Negara Berhad (Insken) berjaya mempersiapkan usahawan dengan ilmu dan kemahiran yang relevan untuk bersaing di dalam industri perniagaan yang semakin mencabar melalui Insken Bumiputera Business Coaching (IBBC) Homestay dan Bumiputera Business Enhancement Programme (BBEP).

Ilmu keusahawanan dan kemahiran perniagaan yang diberi melalui kaedah bimbingan selama empat bulan bermula September hingga Disember 2020 ini telah membantu 55 usahawan meningkatkan hasil jualan keseluruhan sebanyak RM1.56 juta.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, program handholding seperti IBBC dan BBEP ini dilengkapi dengan latihan dan bimbingan secara holistik.

Katanya, malah peserta turut dipantau bagi memastikan skala kemahiran perniagaan dapat ditingkatkan untuk berdepan dengan pelbagai cabaran yang bakal mendatang.

Oleh itu, beliau menyeru supaya para usahawan untuk terus menuntut ilmu keusahawanan agar dapat memajukan perniagaan serta bersaing di peringkat yang lebih tinggi.

“IBBC dan BBEP telah berjaya mencapai KPI yang ditetapkan apabila 50 peratus daripada peserta IBBC Homestay serta 52 peratus daripada peserta BBEP Kohort 7 tahun 2020 dapat meningkatkan hasil jualan perniagaan masing-masing di antara 20 peratus hingga melebihi 100 peratus.

“Seterusnya, 52 pekerjaan baharu telah dicipta melalui program ini,” katanya selepas menyempurnakan perasmian Majlis Penyerahan Sijil Program IBBC Homestay dan BBEP Kohort 7 2020 bertempat di Kota Bharu semalam.

Baca artikel berkaitan: MEDAC tekad rancak semula Ar-Rahnu

Lebih ramai usahawan akan dilatih harungi COVID-19 – INSKEN

Ketua Pegawai Eksekutif Insken, Muhd Firdaus Azharuddin berkata, peserta program IBBC dan BBEP sangat komited dan bersungguh-sungguh ketika mengikuti program ini menjadikan faktor utama kepada kejayaan peningkatan hasil jualan mereka.

Hasilnya, kata beliau, usahawan bukan sahaja dapat melonjakkan perniagaan mereka malah masih kekal bertahan dan dapat meneruskan operasi perniagaan seperti biasa.

“Mohammad Azmir Zahir Abu Bakar merupakan antara usahawan cemerlang melalui program IBBC Homestay. Beliau telah mencatatkan RM5,642.63 purata hasil jualan atau 242 peratus peningkatan selepas menyertai program IBBC.

“Purata hasil jualan tertinggi bagi peserta program BBEP adalah sebanyak RM55,040.45 atau 194 peratus peningkatan oleh Nur Aini Abdul Wahab iaitu usahawan dalam industri pembuatan perabot.

“IBBC & BBEP 2020 merupakan program pembangunan usahawan bagi meningkatkan skala perniagaan mengikut industri yang berkaitan. Ia bertujuan memberikan panduan kepada usahawan tempatan untuk mengembang dan melonjakkan prestasi perniagaan.

“Selain itu, usahawan juga dapat mempelajari dan menguasai teknik menguruskan perniagaan dengan berkesan,” ujarnya.

Kata Muhd Firdaus, antara pengisian program IBBC dan BBEP adalah Sesi Bersama Industry Coach, Sesi Pementoran (one-on-one dan group coaching), Sesi Business Improvement: INSKEN Business Training dan Benchmark Visit.

Coach bagi program-program ini adalah merupakan pakar dalam industri masing-masing dan juga BisKaunselor INSKEN.

“Program IBBC dan BBEP masih diteruskan sehingga hari ini dan 2021 merupakan tahun kelima ia dianjurkan. Maklumat lanjut mengenai program-program IBBC dan BBEP serta pendaftaran program lain boleh diperolehi melalui laman web rasmi Insken,” katanya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram