ayu damit

PENYANYI Ayu Damit menyangkal dakwaan liar yang mengatakan dia ada memakai susuk atau pemanis wajah untuk tampil lebih menawan.

Ujar Ayu atau Norayu Damit,32, dia sering berdoa agar dijauhkan perkara yang boleh mengundang fitnah dan mendatangkan syirik dalam bab menjaga kecantikan diri.

“Pada mulanya memang sangat terkejut bila ada yang memberi komen di media sosial dan mendakwa saya ada memakai susuk demi untuk nampak cantik.

“Bagi saya ia agak melucukan sebab jika betullah saya pakai susuk, lebih baik saya ‘tanam’ dekat muka ini sejak dahulu lagi. Mereka yang mengenali saya tahulah saya ini jenis bagaimana orangnya.

“Kalau nak pakai susuk, rasanya di awal pembabitan saya dalam dunia seni, saya dah guna ‘benda’ itu. Pada masa sama, saya selalu berdoa agar sentiasa dijauhi dengan perkara yang boleh mendatangkan syirik seperti susuk,” katanya.

Dalam pada itu, Ayu mengaku ada mengeluarkan belanja sebanyak RM10,000 untuk kecantikkan diri dengan berjumpa doktor yang bertauliah.

Jelas pelantun lagu Hanya Di Mercu itu, dia bukan hanya mahu kelihatan menawan dihadapan semua orang, namun kesedaran untuk menjaga penampilan itu mula terdetik seiring dengan penambahan usia.

“Saya bukanlah nak cantik luaran semata-mata tetapi lebih kepada amalkan gaya hidup sihat sementelah saya pun sibuk dengan perniagaan dalam industri pertanian.

“Apa yang penting, cantik atau tidak, suami serta anak-anak sentiasa ada di sisi. Pada saya cantik itu subjektif, terpulang kepada orang nak menilai kita.

“Saya terima banyak komen, namun saya sedikit pun tak terasa hati dan lebih baik abaikan sahaja yang melemparkan kata-kata negatif itu.

“Kos perbelanjaan itu termasuklah pelangsingan badan, jamu, vitamin. Saya juga turut mendapat tajaan daripada beberapa pusat kecantikkan. Apa-apa pun, sebelum melakukan sebarang prosedur, saya akan tanya pendapat suami terlebih dahulu,” tuturnya.