Sungai Kerawai yang terletak di Teluk Intan, Perak, telah terpalit dalam lipatan sejarah pengangkutan di Malaysia kerana di kawasan inilah, sekumpulan gajah telah menyerang gerabak kereta api penumpang secara bertentangan.

Lebih aneh, peristiwa berdarah yang berlaku lebih seabad lalu itu dikatakan bermotifkan dendam.

Jalan kereta api pertama di Tanah Melayu bermula pada 1 Jun 1885, yang menghubungkan Taiping dengan Port Weld (Kuala Sepetang). Ia dirasmikan oleh Sir Hugh Low, Residen Perak ketika itu. Tujuan utama ia dibina untuk menghubungkan kawasan perlombongan di Larut dengan pelabuhan terdekat iaitu Port Weld.

Stesen kereta api pertama di Tanah Melayu yang menghubungkan Taiping dengan Kuala Sepetang.

Pada peringkat awal sistem pengangkutan ini beroperasi, iaitu ketika zaman sebelum merdeka, perkhidmatan kereta api sering menerima ancaman dan serangan luar jangkaan. Bukan sekadar serbuan daripada pihak komunis, tetapi juga ancaman daripada haiwan liar.

Paling tragis, serangan daripada sekumpulan gajah yang naik minyak dan mengamuk dengan menyerang kereta api yang sedang meluncur laju di atas landasan.

Rempuhan gajah yang mengakibatkan kemalangan keretapi.

Kejadian tersebut berlaku pada tahun 1894, membabitkan perjalanan kereta api penumpang dari Ipoh, Perak menuju ke Kuala Lumpur. Kereta api wap itu membawa tiga gerabak penumpang yang kebanyakannya terdiri daripada saudagar serta tauke lombong yang baru pulang meninjau beberapa lokasi perlombongan di Perak.

Sebaik tiba di Teluk Anson (kini dikenali sebagai Teluk Intan), kereta api yang dipandu oleh seorang warga Inggeris itu diserang oleh seekor gajah jantan bersama sekawan gajah lain yang menunggu di laluan kereta api. Gajah jantan itu telah merempuh kereta api yang bergerak itu secara berhadapan (dengan cara menyondol).

Rempuhan itu telah menghasilkan momentum yang kuat sehingga kereta api tersebut telah tergelincir dan menyebabkan gerabaknya terkeluar daripada landasan. Beberapa batang besi rel juga turut tercabut dan patah.

Gerabak depan keretapi terkeluar dari landasan. Bangkai gajah di sebelah kanan di tepi rel.

Ketika kejadian, kereta api berkuasa wap itu dipandu laju iaitu antara 40 hingga 50 batu sejam dan ia dianggap laju bagi keupayaan enjin kelas wap pada zaman itu.

Dengan muatan tiga gerabak penumpang yang mempunyai kelajuan seperti itu, sukar untuk dibayangkan kekuatan seekor gajah yang mampu ‘menumpaskan’ sebuah kereta api.

Bangkai gajah yang merempuh keretapi.

Berdasarkan kepada cerita lisan, gajah jantan itu dikatakan mempunyai susuk yang besar, lebih besar daripada gerabak kereta api yang dirempuhnya. Penduduk setempat percaya, gajah jantan itu mengamuk untuk menuntut bela di atas kematian anaknya yang mati dirempuh kereta api di kawasan yang sama, beberapa tahun sebelum itu.

Pada tahun 1888, seekor gajah betina telah maut dilanggar kereta api ketika menyelamatkan sekumpulan gajah lain yang sedang melintasi laluan rel. Dikatakan, gajah betina itu merupakan anak kepada gajah jantan tersebut.

Dari sudut lain, mengikut kajian gajah dikenali sebagai haiwan yang amat sensitif melihat cahaya pada waktu malam. Secara kebetulan, tragedi rempuhan gajah itu berlaku pada waktu senja, antara pukul 5.00 hingga 7.00 petang. Hutan tebal yang menyelubungi kawasan tersebut juga menjadikan suasana sekeliling agak gelap. Mungkin kerana cahaya dari keretapi menyebabkan gajah itu merempuhnya.

Papan tanda untuk memperingati peristiwa rempuhan gajah itu.

Bagaimanapun, akibat rempuhan yang sangat kuat secara berdepan, gajah jantan itu mati di tempat kejadian. Dua orang pekerja kereta api warga India turut terkorban dalam kemalangan itu. Manakala penumpang lain yang menaiki gerabak belakang hanya mengalami kecederaan ringan.

Bagi memperingati sejarah itu, tengkorak gajah terbabit telah diawet dan disimpan di Muzium Perak yang terletak di bandar Taiping untuk tatapan umum. Tulang paha gajah itu ditempatkan di Muzium KTMB, manakala gadingnya difahamkan telah dibawa pulang ke England oleh pihak British ketika itu.

Model keretapi yang dipamerkan di Muzium Negara ini dikatakan sama model dengan kereta api yang dirempuh gajah di Teluk Intan.

Manakala model kereta api wap yang dirempuh gajah itu adalah sama seperti model kereta api yang dipamerkan di Muzium Negara ketika ini.

___________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram.