Tidak lama selepas Perang Dunia Kedua berakhir, hidup wanita bernama Bette Nesmith Graham dirundung malang. Perkahwinannya berakhir dengan perceraian. Dia terpaksa meneruskan hidup membesarkan anak tunggalnya yang masih kecil.

Bette belajar menaip dan kemudian mendapat kerja sebagai setiausaha di sebuah syarikat. Sewaktu menaip, Bette sering membuat kesalahan. Untuk membetulkan kesalahan huruf yang ditaip, dia mendapat satu idea.

Bette bersama anak tunggalnya.

Menggunakan mesin pengisar di dapur rumahnya, Bette mengadun serbuk pewarna dengan bahan-bahan tertentu hingga menghasilkan sejenis cecair putih likat. Ia dimasukkan ke dalam botol kecil dan dibawa ke pejabatnya. Apabila terdapat kesalahan pada huruf ditaipnya, Bette akan mencelup berus kecil ke dalam botol itu lalu disapukan pada huruf yang salah.

Cara yang dipraktikkan Bette berjaya. Ia turut jadi perhatian rakan-rakan pejabatnya. Tidak lama, rakan-rakannya mula menempah botol itu. Lalu, Bette menjualnya kepada mereka menggunakan botol berlabel ‘Mistake Out’.

Idea yang bermula dari dapur kecil di rumahnya pada tahun 1951 mula berkembang. Permintaan terhadap produk pemadam yang dihasilkan Bette kian meningkat. Dapur rumahnya sudah jadi seperti kilang pemprosesan.

Bette menubuhkan syarikat Mistake Out Company pada tahun 1956. Siang hari, dia bekerja. Pada waktu malam dan hujung minggu, Bette memberi perhatian terhadap perniagaannya. Dia dibantu oleh anak lelaki tunggalnya yang mengisi cecair putih itu ke dalam botol-botol kecil.

Masa Bette sangat terhad sehingga suatu hari, dia diberhentikan kerja. Itu memberi peluang untuk Bette menumpukan perhatian terhadap perniagaannya. Dia menukar nama produk yang di patennya daripada Mistake Out menjadi Liquid Paper.

Bette mengasaskan cecair yang dikenali sebagai ‘liquid paper’.

Jualannya kian meningkat hingga mencecah jutaan dolar. Tahun 1968, Bette sudah memiliki pejabat sendiri dan menggaji 19 orang pekerja. Dia juga memiliki mesin dan peralatan yang mampu mengeluarkan 500 botol dalam masa satu minit. Tahun itu saja, produk liquid paper berjaya terjual hingga satu juta unit.

Tahun 1975, Bette sudah mempunyai bangunan pejabat sendiri berpangkalan di Dallas. Tahun 1976, Liquid Paper Corporation sudah mampu memasarkan sehingga 25 juta buah botol setahun yang memberi keuntungan bernilai jutaan dolar.

Liquid Paper hasil idea Bette yang berkembang ke seluruh dunia.

Bette meninggal dunia pada tahun 1980, enam bulan setelah dia menjual syarikat yang diasaskannya itu kepada Gillette Corporation pada nilai 47.5 juta dolar.

Semuanya bermula dari dapur rumahnya yang kecil, kemudian berkembang menjadi penemuan hebat tanpa disangka-sangka. Botol liquid paper itu kecil saja, namun digunakan meluas di serata dunia. Hasil ciptaan seorang ibu tunggal yang terdesak untuk meneruskan kelangsungan hidup. Hebat, bukan?