Watak Pak Maon dalam filem Nasib Do Re Mi sampai sekarang masih diingati. Watak komedi yang dilakonkan oleh Mahmud June sangat menjadi dan masih segar hingga ke zaman sekarang.

Watak Pak Maon yang lucu.

Sebelum P.Ramlee berjaya merubah Mahmud June menjadi pelakon yang mampu membawa watak komedi, Mahmud June terlebih dahulu dikenali dengan watak antagonis.

Sebelum dia disukai penonton yang tertawa dan terhibur dengan watak kelakarnya, Mahmud June sebelum itu lebih banyak dibenci dan dimaki hamun.

Antara peristiwa yang tidak dapat dilupakannya ialah penghinaan penonton terhadap dirinya sewaktu menjadi pelakon filem Melayu di Cathay Keris Singapura sekitar tahun 1950-an sehingga 1960-an.

Antara insiden tersebut ialah Mahmud June pernah diludah, dimaki hamun di khalayak ramai, dicerca dan dihina dengan kata-kata kesat. Ini menyebabkan Mahmud June berasa rendah diri sewaktu bertemu dengan orang ramai.

Semuanya berlaku kesan daripada watak samseng, ganas, liar dan jahat yang dilakonkannya.

Ketika itu di layar perak, Mahmud June dilihat sebagai manusia yang tidak berhati perut, suka membuat onar seperti melarikan bini orang, membunuh, memfitnah, merogol dan menyeksa orang. Lakonannya itu dianggap mewakili peribadinya pada tanggapan penonton.

Watak antagonis Mahmud June menyebabkan dia dibenci ramai penonton.

Antara filem yang banyak mengundang kemarahan penonton terhadap Mahmud June ialah sewaktu tayangan filem Sultan Mahmud Mangkat Di Julang di panggung Cathay Singapura pada tahun 1950-an.

Dalam filem itu, Mahmud June memegang watak sebagai Tun Ali yang bertanggungjawab membelah perut Maria Menado, isteri kepada Nordin Ahmad kerana kesalahan memakan buah nangka untuk dipersembahkan kepada Sultan.

Semasa tayangan filem itu, ramai penonton menjerit apabila tiba adegan Mahmud June membelah perut Maria Menado. Malah pelakon Siti Tanjung Perak yang turut menonton filem berkenaan juga menjerit, ngeri dengan babak berkenaan.

Kebencian penonton tidak habis setakat di dalam filem malah terbawa-bawa sehingga ke luar panggung. Sebaik habis tayangan filem berkenaan, penonton telah mengeluarkan kata-kata kesat terhadap Mahmud June yang berada di luar panggung berkenaan.

“Ini orang tak guna hidup. Orang macam ini mesti kasi mampus!” beberapa penonton menuding jari ke arah muka Mahmud June apabila terpandangnya. Bertalu-talu sumpahan, cercaan yang dihamburkan penonton.

Penonton filem itu tidak dapat mengawal kenyataan bahawa adegan membelah perut adalah semata-mata lakonan kerana terlalu marah dengan sifat tidak berperikemanusiaan Tun Ali, watak lakonan Mahmud June dalam filem tersebut.

Maria Menado.

Seniwati Maria Menado yang kebetulan berada di sisi Mahmud June berasa terkilan dengan penghinaan dan kata-kata kesat yang keterlaluan dilemparkan penonton.

“Saya tak tahan dengar macam-macam kata-kata penghinaan orang terhadap abang. Abang tak kecil hati ke?” tanya Maria Menado.

“Nak kecil hati apa. Kita main wayang. Cari rezeki,”  balas Mahmud June yang sudah lali dengan pelbagai kata-kata kesat penonton akibat watak jahat yang dimainkan dalam filem lakonannya.

Pernah suatu ketika sekembalinya Mahmud June dari lokasi penggambaran, seorang wanita meludah mukanya diiringi kata-kata, “Sial. Lelaki tak guna!” Wanita itu mengulangi ayat tersebut setiap kali bertemu Mahmud June di jalanan.

Manakala seorang wanita lain pula menghempas pintu dengan kuat apabila terpandang muka Mahmud June sambil berkata, “Menyampah tengok muka dia!”

Pada suatu kejadian lain, seorang wanita memberitahu anak gadisnya semasa Mahmud June sedang lalu, “Orang muka macam ni tak harus buat laki!”

Adegan Toreh Perut

Filem Sultan Mahmud Mangkat Di Julang bukan sahaja amat berkesan di jiwa penonton malah turut meninggalkan kesan mendalam terhadap Mahmud June.

Ini kerana beliau nyaris melukakan seniwati Maria Menado semasa penggambaran filem berkenaan. Kerana terlalu menghayati jalan cerita, Mahmud June tidak sedar bahawa beliau sedang menggunakan pisau betul semasa menoreh perut Maria Menado.

Selepas ditoreh, pisau yang tajam itu menyebabkan baju yang dipakai Maria Menado koyak kerana krew penggambaran terlupa meletakkan zink di perut Maria Menado.

Maria Menado bernasib baik apabila Mahmud June cepat tersedar dan menghentikan perbuatannya. Penggambaran terpaksa ditangguhkan selama empat jam. Fikiran Mahmud June berkecamuk dan agak runsing dengan kejadian tersebut.

“Nasib diri kita belum sampai ajal, bang,” kata Maria Menado kepada Mahmud June yang panik dengan kejadian itu.

Penggambaran filem tersebut diteruskan, tetapi adegan itu diganti dengan perut kambing dan tali perut menggunakan basikal yang diisi darah. Hanya bahagian kepala sahaja menggunakan tubuh Maria Menado.

Semasa penggambaran berjalan dan babak Mahmud June sedang membelah perut dan menarik tali perut Maria Menado sehingga memancut darah, tiba-tiba seorang jurukamera filem rebah dan pengsan di situ.

Bagaimanapun, adegan Mahmud June membelah perut Maria Menado itu menjadi mangsa pihak Penapis Filem Singapura. Ia dipotong kerana adegan itu menunjukkan sifat orang Melayu yang sangat kejam terhadap wanita.

Selain filem Sultan Mahmud Mangkat Di Julang, Mahmud June juga tidak dapat melupakan filem Sri Mersing yang dilakonkan di bawah arahan Salleh Ghani. Dalam filem itu, Mahmud June melakonkan watak sebagai Awang Sulung yang meracuni fikiran Pak Malau lakonan Shariff Medan.

Filem Sri Mersing.

Dalam filem berkenaan, Mahmud June berjaya melakonkan watak sebagai anak penghulu yang kejam, menghalang cinta antara Sri Mersing (Rosnani Jamil) dan Damak (Nordin Ahmad), menyeksa dan membakar rumah kediaman Damak.

Filem Sri Mersing akhirnya telah menjadi filem box-office dan Mahmud June dibayar bonus sebanyak enam kali oleh Cathay Keris Filem Production kerana kejayaan di luar dugaan mengaut keuntungan hasil tayangannya di Singapura dan Malaysia.

Selain itu, antara filem lain lakonan Mahmud June dengan watak antagonis dan berjaya meninggalkan kesan mendalam terhadap penonton ialah Mahsuri, Jalak Lenteng, Dang Anum dan Hang Jebat.

Dalam filem Mahsuri, Mahmud June berlakon sebagai Anwar, seorang lelaki kejam yang bertanggungjawab mengarahkan orang-orangnya menyula Mahsuri (lakonan Kasma Booty) sehingga mati kerana dituduh berbuat maksiat semasa ketiadaan suaminya, Deramang (Nordin Ahmad).

Filem Mahsuri.

Sepanjang pembabitannya dalam dunia filem, Mahmud June sudah berlakon kira-kira 100 buah filem. Semasa di Cathay Keris, Mahmud June dibayar gaji RM150 dan bonus RM450. Gajinya kemudian dinaikkan sebanyak RM250 kerana lakonan yang hebat dan berjaya mendatangkan kesan mendalam.

Selepas kejayaan filem Mahsuri, gaji Mahmud June dinaikkan kepada RM450, bayaran yang agak tinggi diberikan kepada pelakon filem Melayu ketika itu.

Pada masa itu, pelakon seperti Kuswadinata hanya dibayar gaji RM150 sebulan. Manakala pelakon termahal di Cathay Keris ialah Nordin Ahmad dan Kasma Booty yang menerima gaji RM750 sebulan.

Mahmud June menerima kenaikan gaji ekoran kejayaan watak yang dilakonkannya.

Filem pertama dilakonkan Mahmud June dengan Cathay Keris Production ialah Orang Licin (1958) arahan Datuk L.Krishnan. Mahmud June melakonkan watak sebagai anak keempat dari tujuh beradik yang paling kejam kerana berebutkan harta pusaka.

Selepas filem Orang Licin, Mahmud June terus menerus berlakon dalam filem Melayu dengan Cathay Keris, memegang watak samseng dan penjahat yang sukar ditandingi kehebatannya.

Bermula Sebagai  Tukang Angkut Barang, Gaji 30 Sen

Walaupun sering dibenci penonton, namun Mahmud June atau nama sebenarnya Mahmood Junit Bin Derani  mengakui, beliau suka melakonkan watak jahat dalam filem-filem Melayu.

“Sebenarnya arwah Pak Yem (Ibrahim Jaafar) yang mengesyorkan supaya saya pilih watak jahat dalam filem Melayu. Pak Yem bilang, awak senang kemudian hari,” cerita Mahmud June sewaktu ditemuramah oleh Mastika pada tahun 1997.

Mahmud June menceritakan pengalamannya ditemuramah Mastika pada tahun 1997.

Anak kelahiran Titi Gajah, Kedah ini mempunyai cerita tersendiri mengenai pembabitan dirinya sebagai anak wayang.

Pada pertengahan tahun 1935, Mahmud June sudah merantau ke Ipoh. Di Bandar Ipoh, Mahmud June bekerja sebagai tukang angkut barang di stesen keretapi dengan gaji 30 sen sehari.

Dengan pertolongan Tengku Ismail (kerabat diraja Perak), Mahmud June diterima menjadi orang suruhan sekali gus menjaga kebersihan pentas bangsawan Grand Jubilee Opera dengan gaji sebanyak RM1 sehari.

Selepas beberapa bulan dia bekerja, Mahmud June telah ditawarkan menjadi anak wayang dengan bantuan Pak Yem yang ketika itu menjadi pengurus artis bangsawan. Lakonan pertama di pentas bangsawan ialah ialah Porter 13 (1935).

Namun, kegemilangan bangsawan mulai lenyap apabila Cathay Keris dan Shaw Brothers ketika itu mula mengeluarkan filem-filem Melayu. Kesannya, Mahmud June turut menceburi dunia perfileman.

Mahmud June.

Orang yang bertanggungjawab membawanya ke dunia filem ialah pelawak, Puteh Lawak yang juga sepupu kepada Mahmud June.

Puteh Lawak datang ke Ipoh bersama tauke Cathay Keris, Hoo Ah Lok untuk mengambil Mahmud June sebagai pelakon kerana terpikat dengan lakonannya dalam bangsawan.

Maka sejak itu, bermulalah episod kehidupan Mahmud June sebagai seorang pelakon filem Melayu.

**Kisah di atas adalah pengalaman yang diceritakan sendiri oleh Mahmud June sewaktu Mastika menemuramah beliau pada tahun 1997. Datuk Mahmud June telah meninggal dunia pada 14 April 2002 semasa berusia 81 tahun.  

_______________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram.