pintu syurga terbuka untukmu

Pintu Syurga terbuka untukmu wahai Rasulullah. Baginda merupakan manusia pertama yang akan membuka pintu syurga setelah seluruh umat manusia dibangkitkan di Padang Mahsyar. Kemudian mereka akan melalui Telaga Kauthar dan meniti titian sirat.

Anas bin Malik r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda,

“Aku berjalan sampai ke depan pintu syurga pada hari Kiamat, kemudian aku mengetuk pintu itu, lalu dibuka pintu syurga dan penjaganya bertanya, “siapakah kamu?” Baginda s.a.w. menjawab, “Aku Muhammad”.

Penjaga syurga bertanya lagi, “kerana kamulah aku diarahkan supaya tidak ada seorang pun yang boleh membuka pintu syurga ini sebelum datangnya kamu.” Baginda berkata lagi, “aku adalah nabi yang paling ramai pengikut di hari Kiamat nanti dan akulah orang pertama sekali akan mengetuk pintu syurga”. HR Muslim

Setelah Baginda s.a.w. masuk ke dalam syurga, umat yang pertama masuk adalah umat Nabi Muhammad s.a.w. walaupun kita adalah umat yang terakhir. Abu Hurairah r.a. berkata, dari Baginda s.a.w. bersabda,

Kami adalah umat yang terakhir (lahir ke dunia, tapi) yang pertama (dihisab) pada hari kiamat dan yang pertama masuk ke dalam syurga” HR Muttafaq alaih

Luasnya pintu syurga disebutkan dalam dua hadis berbeza iaitu pertama dari Utbah bin Ghazawan, Rasulullah s.a.w. bersabda,

Disebutkan kepada kami bahawa antara dua daun pintu syurga menyamai perjalanan 40 tahun, suatu saat akan didatangi dalam keadaan penuh berdesakan” HR Muslim

Dalam hadis kedua dari Abu Hurairah r.a. berkata, “suatu hari Rasulullah s.a.w. diberi sepotong daging … di akhir cerita beliau bersabda, “Demi Zat yang jiwa Muhammad berada di tangan Nya, sesungguhnya antara dua daun pintu syurga itu menyamai antara Mekah dengan Hajar atau antara Mekah dengan Basrah”. HR Muttafaq alaih

Terdapat lapan buah pintu syurga untuk dilalui oleh penghuninya sebagaimana yang disebutkan oleh Sahl bin Sa’ad r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda,

di dalam syurga terdapat delapan pintu, di antaranya ada yang dinamakan ar-Rayyan yang hanya dimasuki oleh orang-orang yang berpuasa” HR Muttafaq alaih

Luasnya pintu syurga menyamai 40 tahun

Pintu Syurga untuk siapa

  • Orang bertakwa

Selain itu firman Allah S.W.T. dalam surah Sod: 49-50

“Ini adalah kehormatan bagi mereka. Dan sesungguhnya bagi orang-orang yang bertakwa benar-benar disediakan tempat kembali yang baik (iaitu) syurga dan yang pintu-pintunya terbuka bagi mereka”

  • Ahli Ibadah

Manakala dari Abu Hurairah r.a. Baginda s.a.w. bersabda,

siapa yang memberi nafkah kedua isterinya di jalan Allah maka dia akan dipanggil dari pintu-pintu syurga. Wahai hamba Allah, ini adalah kebaikan. Dan jika ia seorang yang mendirikan solat maka dipanggil dari pintu solat, dan jika ia dari pelaku jihad, maka dipanggil dari pintu jihad, siapa yang berpuasa, makai a dipanggil dari pintu ar-Rayyan, dan bagi yang bersedekah makai a akan dipanggil dari pintu sedekah”

Abu Bakar r.a. berkata, “demi bapa dan ibuku (aku korbankan) untukmu, Ya Rasulullah, apa pentingnya orang dipanggil dari pintu-pintu tersebut, apakah ada orang akan dipanggil dari semua pintu-pintu tersebut?” Beliau bersabda, “Benar! Dan aku berharap engkau salah satu dari mereka”. HR Muttafaq alaih

  • Sempurna wuduk

Dari Umar al-Khattab r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda,

“Barangsiapa di antara kalian berwuduk dan membaguskan wuduknya kemudian mengucapkan “Asyhadu Allaa Ilaaha Illallah Wa Anna Muhammadan A’bduhu Wa Rasuluh” nescaya dibukakan baginya pintu-pintu yang delapan, ia boleh masuk dari mana pun ia suka” HR Muslim

___________________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram