tembak mati empat

“Kalau saya buat sendiri ujian asid deoksiribonukleik (DNA), saya akan cepatkan.”

Itu penegasan Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berhubung kes seorang suami yang dipercayai menembak mati isterinya menggunakan senapang angin di Kota Tinggi, Johor, Jumaat lalu.

Walau bagaimanapun, beliau berkata, buat masa ini, polis masih lagi menunggu keputusan ujian sampel DNA kerana keluarga mangsa tidak dapat membuat pengesahan identiti, sebelum membuat tindakan lanjut.

Menurut Ayob Khan, keadaan jenazah yang membengkak menyukarkan keluarga untuk membuat pengecaman identiti.

Beliau berkata, polis juga bakal menuduh suspek di mahkamah namun perkara itu akan diumumkan kemudian.

“Kita masih menunggu keputusan DNA kerana ini melibatkan keluarga mangsa. Memang kalau kita ikut asas, suspek pun telah mengesahkan dia yang bunuh dan tanam di situ.

“Kalau ikut logik akal, pakaian yang dipakai mangsa, kita dah boleh sahkan tetapi keluarga tak dapat sahkan kerana jenazah dah membengkak. Jadi kita kena tunggu, kecuali saya buat ujian sendiri, saya akan cepatkan,” katanya dalam sidang akhbar yang disiarkan menerusi Facebook Polis Johor hari ini.

Baca artikel berkaitan: Suami cemburu tembak isteri ketika tidur, tanam mayat di ladang

Jumaat lalu, misteri kehilangan seorang isteri yang didakwa melarikan diri dari rumah akhirnya terjawab apabila mayatnya ditemui dalam sebuah tong air yang tertanam di sebuah ladang serai, di Bandar Penawar, Kota Tinggi.

Lebih tragis, suaminya mengaku membunuh isteri sendiri dipercayai dengan menembak dari jarak dekat menggunakan senapang angin ketika wanita itu sedang tidur.

Suami mangsa yang mempunyai dua rekod jenayah lampau itu kemudiannya memasukkan isterinya ke dalam tong air berwarna biru bersama cadar rumahnya.

Baca artikel berkaitan: JKM akan jaga dua anak wanita mati ditembak suami – Rina Harun

Mayat wanita itu dibawa ke kawasan ladang di Bandar Penawar untuk ditanam, kira-kira 10 kilometer dari rumah.

Polis sebelum ini berkata kes berkenaan dipercayai bermotifkan cemburu telah menahan dua lelaki Melayu iaitu suami mangsa berusia 43 tahun dan seorang lagi berusia 32 tahun yang juga rakan suami mangsa.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh dan Seksyen 36 Akta Senjata Api.

Semalam, media turut melaporkan jenazah wanita berkenaan masih berada di rumah mayat Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru dan belum dituntut kerana keluarga mahu identiti jenazah disahkan terlebih dahulu.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram