doa anak lelaki makbul

Umumnya tahu lelaki dilahirkan sebagai pemimpin, ketua keluarga dan juga imam. Oleh sebab itu juga lelaki sering kali diberi kelebihan dalam Islam. Namun tidak dari segi doa seperti yang diperkatakan sebilangan orang, doa anak lelaki lebih makbul.

Islam tidak meletakkan syarat lelaki atau perempuan untuk berdoa. Semua makhluk Allah disuruh berdoa untuk memohon kebaikan dan pertolongan daripada Nya. Jauh sekali untuk mendoakan keburukan terhadap seseorang baik lelaki mahupun perempuan.

Memang darjat lelaki dipandang tinggi berbanding wanita, tetapi semua itu tidak mengukur tahap keimanan seseorang. Tetapi keimanan dan ketakwaan itu menjadi tali pengukur dan penyambung kasih sayang seorang anak terhadap ibu bapa mereka.

Doa anak yang soleh akan membantu kedua-dua ibu bapanya mendapat tempat yang baik di akhirat, inilah yang dinanti-nantikan oleh para ibu bapa di alam kubur. Tidak ada beza antara kedua-duanya. Rasulullah pernah merakamkan hal ini dalam sabdanya,

Apabila mati seorang anak Adam,maka putuslah amal perbuatannya, melainkan 3 perkara, iaitu ilmu yang dimanfaatkan, sedekah atau amal jariah dan anak yang soleh yang mendoakan kebaikan baginnya

Tiada diskriminasi gender dalam berdoa

Tidak ada sebarang petunjuk yang membolehkan seseorang mengetahui doa itu sampai atau sebaliknya. Tetapi setiap manusia yang yakin dan beriman kepada Allah tidak akan mempersoalkannya. 

Begitu juga dengan doa siapa yang lebih cepat sampai dan dimakbulkan, tiada istilah memilih bulu dalam berdoa. Sebaliknya, hati yang ikhlas mendoakan kesejahteraan ibu dan ayah yang telah pergi lebih menjadi keutamaan. Bukan jantina yang menjadi penentuannya.  

Hal ini jelas sebagaimana firman Allah yang  bermaksud,

“Dan apabila hamba-hamba Ku bertanya kepada mu tentang Aku, maka (jawablah) bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah) Ku dan hendaklah mereka beriman kepada Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.” Al Baraqah: 186.

Bersandarkan pada ayat tersebut, jika mahu doa dimakbulkan, maka, segala suruhan Allah perlu dilaksanakan. Dan lebih penting, berimanlah dengan setiap yang telah ditetapkan.      

Tidak perlu khuatir tentang doa yang disedekahkan kepada ibu dan bapa diterima atau sebaliknya. Tetapi setiap doa itu perlu dihayati dan dilakukan dengan seikhlas mungkin.  Bukan hanya sekadar melepaskan tanggungjawab sebagai seorang anak atau syarat bahawa setiap anak itu perlu mendoakan kesejahteraan untuk kedua-dua ibu bapa mereka.  

“Doa diterima atau tidak bukan kerja kita. Tetapi semuanya kerja Allah”

Dalam al-Quran  menyebut sesiapa yang melakukan suruhan Allah dan beriman kepadanya, maka Allah akan makbulkan doanya.

Begitu juga perihal doa untuk ibu bapa, sebagai seorang anak, sudah menjadi tanggungjawab untuk mendoakan kesejahteraan mereka baik yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia,”

Tiada siapa pun mampu melihat dan mengetahui ke mana arah tuju doa yang disedekahkan kepada ibu bapa. Doa bukan sesuatu yang boleh dipandang dengan mata kasar dan ia juga tidak boleh disentuh oleh deria tangan. Tetapi Allah itu Maha Berkuasa, dan  Maha Mengetahui segala-galanya. Apa yang berlaku semuanya ada hikmah.

Jika manusia mampu melihat doa diterima atau sebaliknya, pasti ramai yang tidak menjalankan tugas mereka sebagai anak untuk berdoa kepada ibu bapa.

Doa adalah senjata ampuh umat Islam

Malah doa juga merupakan senjata bagi umat Islam sebagai suatu perlindungan dan pertolongan untuk bergantung harap kepada Allah S.W.T. tidak kira di waktu senang atau susah.

Erti sayang seorang anak kepada ibu dan bapanya bukan melalui hantaran wang ringgit, tetapi sayang seorang anak kepada kedua-dua ibu bapanya ialah dengan doanya supaya mereka  mendapat tempat yang terbaik di sisi Allah.

Seperti mana pemuda yang bernama Uwais. Oleh kerana kebaikan dan ketaatannya, doanya sentiasa dimakbulkan oleh Allah S.W.T. sehinggakan Rasulullah pernah menyuruh para sahabatnya memohon Uwais berdoa untuk mereka kerana doanya dimakbulkan. Wallahu a’lam

__________________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram