Peristiwa Israk Mikraj dari sudut teori Einstein

0
161

Tarikh 27 Rejab, tarikh yang wajar diingati sebagai salah satu peristiwa penting dalam sejarah umat Islam untuk mengenang Israk Mikraj, perjalanan kilat Nabi Muhammad S.A.W naik ke langit.

Salah satu peristiwa penting dalam perjalanan istimewa ini apabila baginda menerima perintah Allah S.W.T untuk umat Islam mengerjakan solat lima waktu sehari semalam.

Kita tahu apa yang berlaku bila disebut Israk Mikraj. Perincian peristiwa ini sentiasa diulang setiap kali tiba tarikh 27 Rejab. Banyak hikmah terkandung di sebalik peristiwa penting ini.

Kita selalu mendengar para ulama menceritakan Israk Mikraj dari sudut kefahaman Islam, al-Quran dan hadis. Namun, bagaimana peristiwa ini mampu diterangkan melalui sudut sains?

Terdapat sebuah rencana tulisan seorang pengkaji dari Pakistan bernama Owais Ur-Rehman Khan yang mengaitkan peristiwa Mikraj (naik ke langit)  dengan teori kerelatifan Einstin. Bukan menyuruh anda mempercayainya, namun teori sains ini agak menarik untuk dibaca.

Peristiwa Mikraj adalah mukjizat Nabi Muhammad. Baginda dibawa mengembara ke seluruh pelusuk alam semesta, bertemu Allah S.W.T,  melihat syurga dan neraka serta bertemu para rasul dan nabi-nabi.

Orang bukan Islam tidak mempercayai dan bercanggah pendapat mengenai peristiwa ini. Mereka mempersoalkan bagaimana mungkin Nabi Muhammad dapat mengembara ke segenap alam semesta dalam tempoh yang amat singkat?

Ada logiknya pada hari ini jika peristiwa tersebut dikaitkan mengikut kaedah fizik moden dan ‘Teori Kerelatifan’ yang diterima pakai di seluruh dunia.

Teori Kerelatifan adalah salah satu teori terhebat yang dihasilkan oleh Albert Einstein pada 1905. Teori ini mempunyai pelbagai kesimpulan memeranjatkan yang sukar diterima logik akal manusia.

Albert Einstein.

Apa yang menarik, peristiwa Israk Mikraj berlaku pada tahun 622 Masihi, sedangkan Albert Einstein mengemukakan teorinya pada 1905. Mungkinkah Albert Einstein membangunkan ideanya mengenai Teori Kerelatifan Khas dengan merujuk pada peristiwa Israk Mikraj? Lagipun, Albert Einstein mengemukakan Teori Relativiti Umum pada 1917.

Para saintis menganggap Teori Kerelatifan Umum ini adalah teori terbaik sepanjang zaman dan sebab itulah yang mendorong saintis menganggap Albert Einstein `The Genius’.

Penjelasan Saintifik

Persoalan yang sering menjadi perdebatan ialah, Nabi Muhammad mengembara ke segenap alam semesta dan apabila baginda kembali ke biliknya sama seperti di mana baginda berada sebelum pengembaraan. Rantai pada pintu itu masih berada pada kedudukan yang sama seperti mana ia berayun sebelum itu.

Dalam bahasa mudahnya, baginda mengembara ke seluruh alam semesta yang sudah tentu mengambil waktu lama. Tetapi di bumi, peristiwa itu hanya berlaku pada satu waktu yang sangat singkat, atau bagaikan waktu telah berhenti.

Mengikut Teori Kerelatifan Khas, jika sesuatu benda bergerak pada halaju cahaya, maka regangan masa dan keserentakan relatif berlaku. Nabi Muhammad menaiki Buraq, dan kelajuan Buraq adalah sama atau lebih dari kelajuan cahaya. Bermakna, regangan masa dan keserentakan relatif berlaku semasa peristiwa Israk Mikraj. Dalam bahasa mudah, masa seakan-akan terhenti atau hanya satu tempoh masa yang amat singkat telah berlalu di bumi ketika berlakunya peristiwa itu.

Jarak antara bumi ke hujung alam semesta adalah kira-kira 46.5 bilion tahun cahaya dalam semua arah. Ia kadangkala dipetik sebagai diameter 92.94 bilion tahun cahaya.

Cahaya bergerak sejauh 9.46 trilion (juta bilion) kilometer setahun. Ini bermakna, jika cahaya bergerak tanpa henti, maka ia akan sampai ke hujung alam semesta dalam masa 46.5 bilion tahun. Sebenarnya, alam semesta adalah lebih besar dari yang mampu dilihat manusia, yang mana masih banyak belum diketahui oleh para saintis.

Untuk mengembara dalam satu jarak yang amat jauh, berbilion tahun diperlukan. Jadi, bagaimana Nabi Muhammad mengembara dalam jarak sedemikian jauh dalam masa yang amat singkat?

Jawapan paling mudah pada persoalan itu ialah Allah Maha Kuasa. Allah berkuasa terhadap segala-galanya. Namun, jawapan  pada persoalan itu juga boleh difahami dari sudut sains.

Satu kesan Teori Kerelatifan Khas ialah ‘Pemendekan Lorentz’ yang menyatakan bahawa, sesuatu yang panjang seakan mengecut (lebih pendek) pada seorang pemerhati yang bergerak pada kelajuan cahaya. Oleh itu, adalah mungkin baginda merasakan jarak yang teramat pendek sedangkan ia sebenarnya adalah jarak yang teramat jauh (Allah Maha Mengetahui).

Persamaan jisim dan tenaga

Kesan terakhir Teori Kerelatifan Khas ialah persamaan jisim dan tenaga, yang menyatakan jika sesuatu benda bergerak dengan kelajuan cahaya, maka jisimnya akan ditukar kepada tenaga.

Apabila tenaga ini diubah semula menjadi jisim, disebabkan oleh kecacatan jisim, sebahagian dari  jisim ini akan hilang. Jisim tidak akan bersatu seperti mana bentuk asalnya. Ini bermakna, barang kali mungkin tangan akan bercantum dengan telinga, telinga akan bercantum dengan kaki dan kaki bercantum dengan kepala. Tidak ada bahagian badan yang akan bercantum kembali kepada kedudukan asalnya.

Menurut teori Einstin E=mc2 , pasti ada variasi jisim (kecacatan jisim), tetapi badan Nabi Muhammad tiada berlaku kecacatan seperti disebut di dalam teori tadi. Allah memelihara badan baginda dari  segala kecacatan.

Kenapa tidak ada kecacatan jisim berlaku pada badan Nabi Muhammad? Mungkin E=mc2 dicabuli semasa peristiwa Israk Mikraj. Peristiwa ini bukan satu cerita fiksyen. Ia adalah satu fakta dan mukjizat menakjubkan. Oleh itu, kita perlu melihat dari sudut berbeza Teori Kerelatifan Khas untuk meneroka fenomena peristiwa Israk Mikraj.

Juga, tidak ada kecacatan jisim berlaku pada badan Nabi Muhammad adalah kerana sebelum memulakan perjalanan, malaikat Jibrail a.s. telah mengisi badan Nabi Muhammad dengan misteri, kebijaksanaan dan cahaya istimewa `nur’. Jisim Nabi Muhammad telah dipenuhkan dengan cahaya dan ia bukan lagi seperti jisim biasa. Mungkin sebab itu tidak ada kecacatan jisim berlaku pada badan baginda dari sudut teori Enstein.

Ingat, ia hanya sekadar teori jika hendak dikaitkan peristiwa besar ini daripada sudut sains. Bukan untuk diterima bulat-bulat, sekadar menambah ilmu pengetahuan. Pandangan ilmiah ini sekurang-kurangnya membuktikan peristiwa Israk Mikraj bukan sesuatu yang mustahil untuk berlaku.

Pun begitu, sains moden masih belum mampu menjelaskan perjalanan Israk dan Mikraj ini kerana ia adalah satu mukjizat. Dan setiap mukjizat yang diberi Allah tidak akan mampu dipecahkan dengan ilmu sains.

Sebagai umat Islam yang beriman, kita tidak perlu bukti saintifik untuk mempercayai peristiwa Israk Mikraj ini. Sudah tentu kita percaya tanpa ragu dengan keimanan yang tinggi terhadap Allah SWT.

Peristiwa ini tertulis dalam surah al-Israa’ ayat 1, Allah SWT berfirman : “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

Peristiwa Israk Mikraj mengandungi banyak iktibar untuk kehidupan manusia. Ia peristiwa penting yang memperlihatkan keagungan dan kekuasaan Allah. Ia memang tidak logik pada akal fikiran manusia, tetapi tidak mustahil dinilai dengan iman, kerana ada ketikanya akal tidak mampu menanggapi perkara yang di luar kemampuannya.

Salam Israk Mikraj pembaca sekalian.