UMNO, Pas gesa
Mesyuarat Muafakat Nasional gesa kerajaan rayu keputusan kes kallimah Allah./ Gambar FB UMNO Online

SELAIN bersetuju untuk terus memperkukuh Muafakat Nasional (MN), UMNO dan Pas mengambil ketetapan menggesa kerajaan merayu dalam kes pengunaan kalimah Allah yang diputuskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Dalam satu kenyataan, Muafakat Nasional yang mengadakan mesyuarat bulanannya pada malam ini memandang serius penggunaan kalimah Islam oleh bukan Islam .

“Muafakat Nasional malam ini telah mengadakan mesyuarat bulanan seperti biasa mengikut jadual. Mesyuarat bersetuju untuk terus memperkukuh Muafakat Nasional.

Mufakat Nasional juga mahu menyatakan keprihatinan yang amat serius ke atas keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan penggunaan kalimah-kalimah Islam oleh penganut Kristian dalam penerbitan masing-masing.

“Mesyuarat juga menggesa kerajaan merayu untuk membawa penghakiman ini ke Mahkamah Rayuan,” katanya.

Kenyataan itu juga menyebut bahawa Muafakat Nasional menggesa agar pihak kerajaan untuk mengambil inisiatif menyegerakan pelaksanaan pengharmonian sistem perundangan negara dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.

Mesyuarat Muafakat Nasional berlangsung di ibu negara malam tadi dengan UMNO diwakili Mohamad Hassan dan pimpinan tertinggi lain./ Gambar FB UMNO Online

Mesyuarat berkenaan dihadiri pimpinan kedua-dua parti berkenaan. UMNO diketuai Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan manakala Pas pula diketuai Timbalannya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Setiap parti diwakili 12 pemimpin tertinggi termasuk Setiausaha Agung masing-masing iaitu Datuk Seri Ahmad Maslan dan Datuk Seri Takiyuddin Hasan.

Pas diwakili Tuan Ibrahim Tuan Man bersama pimpinan tertinggi parti itu termasuk Takiyuddin Hassan

Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan bahawa penganut agama Kristian di seluruh negara boleh menggunakan kalimah “Allah” dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan agama mereka untuk tujuan pendidikan.

Tiga perkataan itu ialah Baitullah, Kaabah dan solat.

Baca artikel berkaitan:Mahkamah benar penganut Kristian Sabah, Sarawak guna kalimah Allah

UMNO, Pas bertemu perkukuhkan Muafakat Nasional

Ini susulan keputusan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Nor Bee Ariffin, yang bersidang sebagai Hakim Mahkamah Tinggi, membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh wanita suku kaum Melanau dari Sarawak yang beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill.

Dalam permohonannya, Jill Ireland antara lain memohon perisytiharan bahawa adalah hak perlembagaannya untuk mengakses penerbitan Kristian dalam menjalankan haknya untuk mengamalkan agama dan hak untuk pendidikan, seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

Beliau juga memohon mahkamah mengisytiharkan arahan Kementerian Dalam Negeri pada 1986 yang melarang kalimah “Allah” dalam penerbitan Kristian sebagai tidak berperlembagaan dan tidak sah di sisi undang-undang.

Dalam penghakimannya, Nor Bee berkata arahan oleh Kementerian Dalam Negeri pada 1986 untuk tidak membenarkan penggunaan empat perkataan itu menyalahi undang-undang dan tidak rasional.

“Penggunaan perkataan itu tidak akan mengganggu ketenteraman awam,” katanya.

Nor Bee berkata perkataan itu juga boleh digunakan oleh masyarakat untuk tujuan pengajaran kerana telah digunakan lebih 400 tahun.

Semasa dihubungi, Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan, yang mewakili Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia, mengesahkan bahawa keempat-empat perkataan itu boleh digunakan oleh penganut Kristian untuk penerbitan agama mereka

“Bagaimanapun, penerbitan yang mengandungi keempat-empat perkataan itu perlu disertakan penafian bahawa ia ‘hanya untuk penganut Kristian’ dan juga lambang salib,” katanya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram