1001 kelebihan Uhud

Di Jabal Uhud dikebumikan 70 orang yang gugur syahid di dalam peperangan Uhud. Untuk mengunjungi Uhud dan menziarahi makam para syuhada tidak menjadi halangan. Memang benar pada suatu ketika Nabi pernah menghalang namun larangan itu kemudiannya ditarik balik. Tujuan keizinan yang diberikan oleh Rasulullah sekadar untuk mengambil pengajaran darinya dan mengingati mati.

Namun diwajibkan untuk meninggalkan perkara-perkara yang khurafat seperti meminta berkat dari kuburan, meminta pertolongan dari penghuninya, mencari syafaat dan bertawassul dengan mereka kepada Allah. Tidak perlulah mengambil atau memetik daun atau rumput yang ada di situ lalu dimakan supaya dimakbulkan doa.

Makam Saidina Hamzah yang syahid ketika mempertahankan Islam di kebumikan di sekitar bukit Uhud

Mahupun memanjat Uhud untuk mencari tempat Rasulullah solat semasa perang Uhud agar memperoleh berkat. Juga, mengambil batu untuk dibawa balik untuk dijadikan tangkal. Semua itu tidak digalakkan malah termasuk di dalam bidaah.

Nanti apabila ada kesempatan untuk mengunjungi Jabal Uhud, pastinya akan mendengar berbagai-bagai cerita tentangnya.  Mutawif akan mengatakan, Jabal Uhud adalah salah satu gunung-gunung syurga selain Jabal Thur, Nur dan Qubis. Kemudian akan diceritakan juga Jabal Uhud terletak di atas satu taman syurga.

Namun yang jelasnya, ada satu hadis Rasulullah s.a.w, dari Abu Humaid katanya,

“Kami pergi berperang bersama-sama Rasulullah s.a.w dalam peperangan Tabuk. Ketika kami sampai di Wadil Qura, Rasulullah s.a.w bersabda, “Aku ingin cepat-cepat. Siapa yang ingin cepat ikutlah bersama ku dan siapa yang mahu lambat boleh tinggal. Lalu kami pergi lebih dahulu. Tatkala kami telah dekat akan sampai ke Madinah beliau bersabda, “Itulah kita Thabah dan ini bukit Uhud. Iaitu sebuah bukit yang mencintai kita dan kita mencintainya.” HR Muslim

Menurut Pensyarah Jabatan Pengajian al-Quran & al-Sunah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Mohd Arif Nazri, Uhud diberikan kelebihan oleh Allah. Di sini boleh dikaitkan bahawa Nabi s.a.w dicintai bukan saja manusia yang bernyawa tetapi juga oleh benda yang tidak bernyawa. 

Benda yang tidak hidup, batu, bukit, pohon tamar dan tunggul juga mencintai Nabi. Pernah suatu ketika tunggul kurma menangis kerana Rasulullah sudah tidak lagi menggunakannya sebagai mimbar.

Sewaktu awal penghijrahan Nabi ke Madinah, masjid dibina dari pokok dan pelepah tamar. Mimbar di masjid Nabi ketika itu hanya diperbuat dari tunggul kurma. Di situlah Nabi menyampaikan khutbah dan ceramah agama.

Hal itu disebut di dalam hadis, dari Jabir Abdilah, pernah suatu hari Nabi berdiri pada hari Jumaat bersandarkan pokok tamar. Tiba-tiba seorang Ansar berkata,

“Wahai Rasulullah, alangkah baik kami buatkan kamu Mimbar”. Maka Rasulullah tidak menolak. Lelaki itu membuatkan mimbar untuk Nabi maka pada Jumaat berikutnya Nabi naik ke atas Mimbar untuk menyampaikan khutbah.

Tiba-tiba tunggul itu menjerit seperti tangisan kanak-kanak. Kemudian Nabi pun turun lalu Nabi peluk tunggul itu. Maka terdengarlah seakan-akan esakan bayi. Maka Nabi kata, “Tunggul ini menangis kerana dia biasa mendengar zikir dan bacaan al-Quran semasa ku menyampaikan khutbah, jadi dia merinduinya.

Ibnu Umar berkata,

Wahai manusia sedangkan tunggul pun mencintai Nabi, apalah lagi kita manusia sepatutnya lebih mencintai Nabi.”

Ujar Dr. Arif, halnya samalah dengan Jabal Uhud yang Nabi katakan kepada para sahabat bahawa Uhud mencintai aku dan aku mencintainya. Rasulullah pernah memanjat Uhud bersama Abu Bakar, Umar dan Uthman. Ketika itu Uhud bergegar.

Dari Anas bin Malik, katanya, Rasulullah pernah memanjat bukit Uhud bersama Abu Bakar, Umar dan Uthman, lalu bukit Uhud bergegar. Rasulullah berkata, “Tenanglah wahai Uhud! Kerana di atas mu ada, pesuruh Allah, as-Siddiq dan dua orang syahid (Umar dan Uthman)” HR Bukhari

Uhud juga sering digunakan oleh Rasulullah s.a.w untuk membuat bandingan yang besar tentang pahala kerana ia adalah bukit yang paling besar di Madinah. Misalnya apabila Nabi bercerita tentang pahala menziarahi jenazah hingga dikebumikan dikurniakan pahala sebesar Uhud.

Bukit Uhud adalah antara gunung yang terbesar di Madinah. Justeru itu Baginda s.a.w. membuat perbandingan dengan pahala

Sesiapa yang menghadiri jenazah sehingga selesai solat, dia mendapat pahala seberat satu qiraat. Sesiapa yang menghadiri jenazah sehingga selesi dikebumikan dia mendapat pahala seberat dua qiraat. Ditanya, “Apa maksud seberat qiraat? Jawab baginda, seperti bukit Uhud.” HR Ibnu Majah.

Maknanya, pahala orang yang mengiringi jenazah sampai dikebumikan akan mendapat pahala sebesar dua bukit Uhud. Kemudian ada satu lagi hadis yang juga menggunakan bukit Uhud sebagai perbandingan. Nabi pernah menghalang orang mencerca para sahabat, kata Nabi, “Jangan kamu cerca sahabat ku, kalaulah kamu menginfakkan harta sebesar bukit Uhud sekali pun tidak akan sama infak para sahabat.”

Begitulah istimewanya dan kelebihan bukit Uhud sehingga ia dikaitkan dengan pelbagai kisah dan cerita. Dalam sirah Baginda s.a.w. Wallahu a’lam

_____________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram