BEKAS Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim gagal dalam permohonan untuk membatalkan 13 tuduhan melibatkan rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapinya.

Ia selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan membabitkan tiga pertuduhan rasuah projek jalan raya di Perak dan Kedah serta 10 pertuduhan pengubahan wang haram.

Permohonan Abdul Azeez, 54, itu ditolak Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin setelah mendapati kesemua pertuduhan tidak cacat dan berlandaskan peruntukan undang-undang.

Muhammad Jamil dalam penghakimannya turut berkata mahkamah mendapati alasan permohonan Abdul Azeez adalah tidak bermerit.

“Saya mendapati alasan yang dikemukakan pemohon (Abdul Azeez) adalah tidak berasas. Pemohon juga gagal menunjukkan bahawa pendakwaan terhadapnya adalah bersifat mala fide (berniat jahat).

“Pada pandangan saya, kes ini bukan kes yang sesuai dan wajar bagi mahkamah melaksanakan kuasa sedia ada untuk mengetepikan dan membatalkan pertuduhan terhadap pemohon. Oleh itu, permohonan pemohon ditolak,” katanya seperti dilapor BERNAMA.

Baca artikel berkaitan: Zahid didakwa minta sumbangan RM10 juta daripada ahli perniagaan Singapura – Saksi

Abdul Azeez menghadapi tiga tuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berkaitan projek jalan raya di Perak dan Kedah serta 10 pertuduhan pengubahan wang haram mencecah jutaan ringgit.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan dibaca bersama Seksyen 16(A) dan Seksyen 24(1) akta yang sama memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta denda.

Muhammad Jamil menjelaskan, pertuduhan di bawah Akta SPRM yang dihadapi Abdul Azeez adalah tidak cacat walaupun empat projek berasingan digabungkan dalam satu pertuduhan kerana suapan yang diterima adalah berkenaan kesemua projek tersebut.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram