Lepaskan suspek Macau
Tan Sri Abdul Hamid Bador/ Gambar media sosial

MACAU Scam memang isu besar negara, ramai sudah yang menjadi mangsa sindiket itu melibatkan kerugian yang bukan sedikit.

Namun kes baru terus berulang dan tidak menghairankan apabila Bukit Aman mendapati ada dalam kalangan pegawai dan anggota yang terlibat melindungi sindiket ini.

Bukan hanya anggota biasa, bahkan ada pegawai kanan dan ketua polis daerah ditukarkan sementara menanti siasasatan selesai kerana disyaki terbabit dengan sindiket Macau Scam.

Terbaru, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador hari ini mengesahkan seorang pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pulau Pinang telah melepaskan suspek yang terlibat dengan sindiket Macau Scam di negeri itu.

Beliau berkata, perkara itu dikesan hasil siasatan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.

“Kita sedang ambil tindakan drastik kerana ini terang-terangan satu pengkhianatan kepada amanat yang telah saya berikan,” katanya.

Abdul Hamid berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pemakaian sayap juruterbang dan penutupan kursus Lesen Juruterbang Persendirian di Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara di Ipoh.

Memetik laporan Bernama, ditanya sama ada pegawai terbabit dikenakan tindakan tatatertib, Abdu Hamid berkata:

“Saya tidak lagi cenderung kepada tindakan tatatertib kerana hukumannya tidak setimpal. Paling tinggi pun lucut hak emolumennya tujuh hari.

“Untuk buang kerja, turun pangkat, itu kuasa Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP).”

Baca artikel berkaitan: Macau Scam: OCPD ditukar, ada yang ke KDN

‘Macau Scam’ menyamar dari LHDN, guru ditipu RM115,000

Beliau diminta mengulas mengenai dakwaan ada pegawai polis di Pulau Pinang bertindak melepaskan suspek Macau Scam.

Semalam, Abdul Hamid dilaporkan berkata kes 31 anggota yang sebelum ini dikenal pasti terbabit dalam kegiatan Macau Scam diserahkan kepada SPP.

Bukit Aman sebelum ini memaklumkan Ketua Polis Daerah (OCPD) antara 31 warga PDRM yang ditukarkan kerana disyaki terlibat dalam Macau Scam dan perjudian dalam talian.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Zamri Yahya berkata, mereka masih lagi bertugas namun telah ditukarkan ke jabatan lain sementara menunggu keputusan hukuman terhadap mereka.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram