zikir punca gila isim

Pernyataan-pernyataan tentang gila Isim sering disalah ertikan, sehingga menjadi tanda tanya dalam masyarakat kita, apakah sebenarnya yang dikatakan sebagai gila isim?

Ada yang beranggapan, gila isim adalah seseorang yang cuba mendalami ilmu agama terutama ilmu tasawuf, tetapi dek kerana gagal memahami asas ilmu yang dipelajari, menyebabkan dia mengalami gangguan mental.

Ada juga yang berpandangan, gila isim hanya terjadi apabila seseorang mengamalkan zikir-zikir tertentu, atau mendalami ilmu agama tanpa mempunyai guru yang benar, sehinggakan syaitan pula menjadi gurunya.

Bahkan bagi yang mengalami gila isim, mereka bukan sahaja mengalami gangguan mental, tetapi mereka seakan mempunyai naluri yang buas dan tidak terkawal, sehingga sanggup membunuh sesiapa sahaja, termasuklah di kalangan ahli keluarganya sendiri.

Zikir dan amalan tasawuf dikatakan menjadi punca gila isim

Keadaan ini berpunca dari mendengar arahan suara-suara bisikan, yang menyuruh membuat itu dan ini.

 “Sebenarnya perkataan isim merujuk kepada sesuatu nama atau nama-nama Allah. Nama-nama ini yang dijadikan sebagai zikir amalannya sehari-hari. Dan zikir yang dilaksanakan itu mempunyai kaitan dengan ismu zat Allah dan zikir nafi isbat (La Ilaha illallah)” demikian menurut Profesor Zakaria Stapa, Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjelaskan tentang hakikat sebenar kesahihan tentang definisi gila isim sebagaimana yang diperkatakan.

Jelasnya lagi, dalam ilmu tasawuf, tiada istilah yang khusus seperti gila isim, bagi sesiapa yang mengamalkan zikir akan mengalami gangguan mental. Istilah ini hanya muncul di kalangan masyarakat Melayu Nusantara, tetapi dalam kitab-kitab tasawuf ia tiada langsung dijumpai. 

Apabila kita bercakap tentang istilah gila isim, ia juga sering kali dikaitkan dengan perkara yang bukan-bukan termasuklah dikaitkan dengan keupayaan diri yang lemah, tetapi mempelajari ilmu agama yang tinggi, sehingga tidak tertanggung dek akal fikirannya.

mempelajari ilmu bertaraf tinggi tanpa memahami asas-asas ilmu tersebut juga menjadi punca kepada gila isim

Bahkan ada juga yang mengatakan, apabila seseorang berada dalam kandungan ibu untuk tempoh yang tertentu, seperti lebih dari sembilan bulan, maka orang itu berupaya mengamalkan zikir, atau mempelajari ilmu tasawuf tanpa mengalami gila isim.

 “Ini semua tiada kaitan dengan mempelajari ilmu tasawuf. Apa yang berkaitan dengan ilmu tasawuf ialah, zikir itu satu cara bagi mendekatkan diri kepada Allah, hingga satu tahap kemuncak, ia hanya akan ingat kepada Allah dan mengabaikan hal-hal yang lain.

Fahami struktur tasawuf

Menurut Prof. Zakaria lagi, dalam ilmu tasawuf, strukturnya perlu difahami kerana ia merupakan ilmu yang berasaskan pada amalan. Bagi ahli sufi, mereka mengungkapkan zikir secara lantang dengan lidah, atau senyap di dalam hati dengan tujuan utama, untuk melatih diri, menjadi hamba yang hampir dengan penciptanya.

Ilmu ini hanya boleh dimiliki melalui amalan. Apabila ingin mengamalkannya, ia tidak boleh dipelajari hanya dalam kelas sebagaimana yang diajarkan di sekolah atau di kuliah-kuliah. Mungkin dalam kelas ia boleh difahami, tetapi ia tidak boleh mendapat ilmu ini, kecuali melalui amalnya.

Dalam bahasa yang mudah, apabila diamalkan barulah dapat dirasai kelazatan ilmu ini. Perkara-perkara yang menjadi amalan pula adalah yang terkandung dalam al-Quran, as-Sunnah, dan ibadah-ibadah yang lain seperti solat, puasa, zakat dan lain-lain.

Sucikan hati dengan taubat

Jika kita melihat sejarah ilmu tasawuf, tidak ada lagi yang sampai menjadi gila apabila mempelajari atau mengamalkan zikir ismu zat ini. Hanya yang ada seperti al-wajdu, as-sakru (mabuk) atau al-Fana’. Tiga keadaan ini yang biasa berlaku kepada seseorang yang mengamalkan zikir-zikir tersebut.

 Sebelum mengamalkan ilmu ini, hatinya perlulah dibersihkan dahulu dengan melakukan sebenar-benar taubat kepada Allah S.W.T. kerana hati itulah tempat turunnya ilmu. Dan ilmu itu turun ertinya datang ke dalam hati secara terus dari Allah.

Mauhibbah akan hadir dalam diri seseorang setelah hatinya suci dan bersih

Apabila hati telah suci hasil dari taubat dan pelbagai ibadah yang dilakukan, hati tersebut akan bersedia menunggu anugerah pemberian Allah yang dinamakan Mauhibbah. 

Mauhibbah ini datangnya dalam bentuk Zaukiyah, iaitu seperti dirasai kehadirannya. Ia merasa dengan yakin kedatangannya itu mempunyai unsur-unsur makrifat dan unsur ilmu. 

Contoh yang mudah, seperti orang yang suka dan selalu minum kopi. Hanya orang begini yang biasanya dapat mengetahui bagaimana rasa sesuatu kopi, adakah manis, pahit, tawar, cukup rasa dan sebagainya. Bahkan dia juga mengetahui dengan lebih mendalam, ilmu berkaitan kopi atau jenis-jenisnya.

Zaukiyah ini dalam pengertian rasa ada unsur makrifat, dan unsur ilmu. Bila ia diperoleh dengan datang dan terus masuk ke dalam hati dari Allah S.W.T. maka bentuknya akan menjadi Tajalli, Kasyaf atau Warid.

Dalaman perlu kuat

Dalam tempoh menerima Mauhibbah, Ia tertakluk kepada diri seseorang. Jika kuat dalamannya akan stabillah dirinya, tetapi jika lemah dalamannya, maka akan berlaku kerapuhan dalam diri, itu yang mungkin berkaitan dengan gila isim.

Dia tidak dapat menstabilkan diri kerana adanya unsur-unsur marah, sedih atau dalamannya yang tidak kuat.

Justeru apabila datang Mauhibbah, ia seperti Allah S.W.T. memperlihatkan bentuk kehebatannya, menjadikan seseorang berasa gerun. Dan perasaan gerun yang datang dalam hatinya inilah yang menimbulkan masalah dalam dirinya hingga dia menjadi tidak stabil. Keadaan ini yang dinamakan as-Sakru.

Tetapi jika dalamannya kuat, datanglah apa jua bentuk Mauhibbah, pasti hatinya akan terima dengan rasa tenang. Andai yang datang itu berbentuk Tajalli, Warid atau Kasyaf yang berbentuk keindahan akan menyebabkan dirinya menjadi kagum.

tiada istilah gila Isim kecuali al-wajdu atau as sakru

“Berdasarkan kajian saya yang lalu, inilah keadaan yang berlaku kepada ahli-ahli sufi, tetapi tidak ada istilah gila yang dialami. Cuma yang ada adalah al-Wajdu, atau as-Sakru. Keadaan inilah yang menyebabkan mereka tidak dapat membezakan Mauhibbah itu sesuatu yang baik atau yang buruk. 

Manakala Al-Wajdu ialah keadaan di mana seseorang ahli sufi, akan terserempak dengan Mauhibbah Allah s.w.t. hingga menjadikan dirinya terpinga-pinga kerana dia tidak menjangka, akan kehadiran Mauhibbah tersebut.

Dan pemberian itu juga menjadikan dia hairan, serta tidak stabil. Keadaan ini juga hampir dekat dengan istilah yang dikatakan as-Sakru (mabuk) tetapi belum sampai ke tahap itu. 

Satu lagi keadaan yang tertinggi adalah al-Fana’. Keadaan ini berlaku apabila seseorang yang mengamalkan zikir hingga sampai ke puncaknya, tiada lain yang diingat kecuali Allah S.W.T. sepertimana seseorang yang mendirikan solat atau berzikir dengan penuh khusyuk.

Di dalam hatinya hanyalah mengingati Allah S.W.T. Kesemua yang datang adalah berbentuk positif, tetapi yang menjadikannya negatif adalah kerana, dalamannya yang tidak kuat menanggung Mauhibbah Allah s.w.t. 

 “Syatahat ada mengatakan bahawa, sebenarnya diri seseorang itu seperti alur sungai yang sebahagiannya cetek dan sebahagiannya dalam. Apabila datangnya air hujan rahmat yang lebat, pastinya alur yang cetek tidak dapat menampung jumlah air hujan tersebut sehingga ia melimpah keluar.

Begitu juga yang berlaku kepada orang yang dalamannya cetek, maka jika Mauhibbah datang, ia tidak akan dapat menampung pemberian tersebut. Terpaksalah ia melepaskannya keluar sebagai mana yang pernah berlaku kepada Hallaj (salah seorang ahli sufi). 

“Dalaman Hallaj yang tidak kuat, menyebabkan dia mengaku dirinya adalah tuhan dengan katanya, “Aku al-Haq.

setiap orang ada had kekuatannya tersendiri seperti IQ. ada yang tinggi dan ada yang rendah

Berbeza pula dengan Imam Ghazali yang mana dalamannya kuat hingga dapat menampung Mauhibbah Allah S.W.T. Dia tidaklah sampai mengaku bahawa dirinya tuhan sebagaimana Hallaj.

Di kalangan ahli sufi, ada yang berjaya menguasai ahwal (pemberian Allah seperti takut, harapan dan lain-lain), dan ada juga yang dikuasai oleh ahwal hingga menyebabkan dirinya meracau.

Setiap orang ada had kekuatannya tersendiri, seperti IQ. Ada yang IQ nya tinggi dan ada juga yang rendah. Bagi yang tinggi sudah pasti mudah baginya menerima ilmu, tetapi bagi yang rendah IQ nya, amat sukar untuk menerima ilmu.

Oleh yang demikian, kumpulan yang dikuasai oleh ahwal ini adalah yang lemah, tetapi jika dia yang menguasai ahwal, dia adalah kumpulan yang kuat. 

Secara jujurnya, saya tidak bersetuju mengatakan bahawa orang yang belajar ilmu tasawuf boleh sampai ke peringkat membunuh, gila isim atau perkara-perkara buruk yang lain. Ini berdasarkan kajian dan sejarah ilmu sufi yang lalu. Hanya yang ada adalah al-Wajdi, as-Sakru dan al-Fana’. Kesemua ini sifatnya hanya sementara bukan berterusan,” tegasnya.

_________________________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram