Saat kehilangan pasangan hidup, tidak mampu digambarkan keadaan ketika itu. Siapa yang pergi dahulu? Bagaimana? Walau hanya dalam mimpi, namun sakitnya tidak terperi. Kerinduan yang tiada penghujung.

Kisah yang dikongsikan Superdaddy, Khairul Abdullah cukup menyayat hati. Bapa tunggal kepada tiga anak kecil ini berkongsi bagaimana dia mengumpul kekuatan dan bangkit selepas pemergian isteri tercinta.

Jelas Khairul, tagline Superdaddy dipilih untuk memberikan semangat baru untuknya menjalani kehidupan bersama anak-anak tanpa isteri tercinta.

Malah dia turut memberikan kata-kata semangat buat insan yang mengalami nasib serupa, kata magisnya ‘Be strong, stay strong. Allah kan ada.”

Ikuti perkongsian menarik ini.

“Sahabat aku baru selesai kebumikan isteri dan anaknya selepas Isyak tadi. Aku membayangkan bagaimana perasaan dia bila orang yang paling dia sayang sudah berada 7 kaki di dalam tanah.

“Kosong.

“Aku dulu begitulah. Kosong, takde apa dalam jiwa dan fikiran ketika itu.

“Isteri aku selesai dikebumikan selepas Asar. Menjelang Maghrib aku balik ke hospital ambil kereta dan juga barangan yang ditinggalkan. Lepas maghrib aku sampai di rumah yang masih ramai dengan tetamu.

“Aku bersihkan diri, solat dan turun ke bawah lalu aku minta maaf pada semua. Aku terlalu penat dan ingin berehat. Tiga hari aku berkampung di ICU, makan tidur tak menentu.

“Baringlah aku terkebil-kebil berseorangan. Fikiran kosong, jiwa kosong. Tak tahu dan tak boleh fikir apa-apa. Tak sedih, tak kecewa, tak marah, tak apa. Cuma kosong.

“Aku ambil semua anak-anak masuk ke bilik dan baring bersama aku. Semuanya senyap, aku cium kesemua, aku peluk erat si bongsu yang baru berusia 7 bulan lebih. Seterusnya aku tak ingat apa. Sedar-sedar mak aku kejut subuh.

“Pagi itu adalah pagi yang sangat lain dari yang lain.

“Pagi yang tak pernah aku bayangkan untuk aku lalui. Aku dah tekad aku kena kuat. Aku dah tekad tak termakan pujukan mak aku untuk ambik anak-anak aku terutamanya baby. Aku dah tekad aku nak besarkan sendiri anak-anak aku. Aku tekad berhenti kerja, kalau tak aku memang tak boleh nak jaga anak sendiri dan kena lepaskan pada mak aku.

“Jadi, untuk besarkan anak sendiri aku kena korbankan pekerjaan aku ketika tu. Aku perlu kerja yang lebih fleksible agar dapat aku urus anak-anak. Aku perlu extra kekuatan, extra strength dan motivation.

“So, aku tekad. Lets be super super strong.

“So pagi tu, aku uruskan anak-anak, aku angkut semua baju-baju kotor untuk dibasuh. Aku ambil gambar dan aku post ke fb aku tengah masukkan baju dalam washing machine. Itulah post pertama aku sebagai bapa tunggal membesarkan 3 beradik yang masih sangat kecil.

“Di akhir tulisan aku letakkan hashtag “superdaddy.”

“Biar aku gelar diri aku super, biar aku sendiri bersemangat, biar aku kuat. Aku kena live up to expectation lah kan bila dah super. So dengan hashtag tu aku make sure aku boleh buat semua benda.

“So nak bagitau korang yang gelaran tersebut aku sendiri yang adakan demi untuk aku motivate diri aku. Agar aku dapat redah segala apa yang ada di depan aku, agar aku dapat besarkan sendiri anak-anak aku tanpa campurtangan orang lain. I’m super, I can do it. Alhamdulillah. You are what you believe. It works untuk aku.

“Aku boleh manage sendiri anak-anak, rumahtangga dan kerjaya aku bersedirian dah masuk tahun ke-3 dah. Sukar tu memanglah sukar. Namun alah bisa tegal biasa. Nothing is impossible.

“So, untuk kawan-kawan yang kehilangan pasangan, aku doakan kalian kuat. Kena kuat sebab at the end of the day, hanya kau dan anak-anak sahaja yang kena hadap dan harung semua benda.

“Waktu 2-3 bulan awal masih ramai adik beradik dan sahabat handai membantu itu dan ini. Namun semua orang ada keluarga sendiri, ada komitmen masing-masing dan tak selamanya dapat bantu kita.

“Hanya kita sendiri dengan semangat yang kuat sahaja dapat berdikari dan menempuh semuanya sehingga berjaya. So sekali lagi buat yang kehilangan, you have no option left. Just, Be strong, stay strong. Allah kan ada.#superdaddy.”

Sumber : Khairul Abdullah