balak
Pengasas YMTR, Datuk Seri Dr. Muhamad Rosli Che Wan (kiri) bersama Pengerusi NQHSB, Mazlan Goh Ahmad Goh.

KALAU sebut balak, tentu terbayang kepada kita kayu-kayu besar yang terdapat di kawasan hutan tebal di kawasan pedalaman beberapa negeri di negara ini, termasuk di Sabah dan Sarawak yang hanya boleh diusahakan oleh syarikat-syarikat besar.

Tetapi tahukah anda, bahawa petani juga kini berpeluang menceburi bidang pembalakan dengan menanam pokok balak khas di kawasan ladang biasa yang dikenali sebagai pokok Balsa yang bersaiz sederhana.

Kini satu kaedah pertanian baharu dengan penanaman balak atau dikenali sebagai Agroforest akan mula diusahakan secara meluas di negara ini.

POKOK Balsa hanya memerlukan lima tahun untuk mendatangkan hasil apabila matang.

Usaha dan penemuan kaedah ini adalah inisiatif syarikat Yang Mulia Tunku Rosli & Ruslan International Berhad (YMTR) dengan usahasama kepakaran NQ Holdings Sdn. Bhd. (NQHSB)

Pengasas YMTR, Datuk Seri Dr. Muhamad Rosli Che Wan berkata, konsep pertanian dikenali sebagai ladang hutan itu akan dibuat di seluruh negara.

“Banyak tanah-tanah terbiar terdapat di seluruh negara dan misalnya kami akan mulakan di Rompin yang mempunyai 1,000 ekar tanah,” katanya.

Beliau berkata, kelebihan tanaman pokok Balsa yang kayunya boleh digunakan untuk kegunaan perabot itu memerlukan masa lima tahun sahaja untuk matang seperti tanaman kelapa sawit.

Katanya, tidak seperti tanaman kelapa sawit atau tanaman lain, tanaman pokok Balsa ini hanya memerlukan penyelenggaraan yang rendah kerana hanya perlu dijaga pada setahun awal tumbuhannya sahaja.

“Semua pemilik tanah pertanian atau terbiar yang berpotensi kepada pertanian ini, adalah dijemput menyertai perniagaan perusahaan balak bersama kami, yang menjanjikan pulangan yang tinggi bagi setiap lima tahun penanamannya.

“Perusahaan Agroforest Balsa ini akan memberi pulangan yang besar sehingga lebih RM1 bilion untuk dikongsi bag setiap 100 hektar (247 ekar) untuk tempoh 20 tahun,” kata kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh YMTR dan NQHSB.

Satu majlis perjanjian persefahaman dan meletak papan tanda projek usahasama antara YMTR dan NQHSB diadakan di tapak percubaan perladangan Balsa di Kuala Pilah, Negeri Sembilan Rabu lepas yang turut dihadiri Pengerusi NQHSB, Mazlan Goh Ahmad Goh.

Dalam projek usahasama yang diusahakan oleh kedua-dua pihak tersebut, konsep jaminan pasaran dengan setiap batang balak Balsa akan dibeli kembali oleh pihak YMTR mengikut nilai pasaran semasa.

BERITA BERKAITAN Perdagangan borong, runcit menguncup 2.7%

Kayu Balsa adalah kayu yang mempunyai nilai pasaran dan permintaan yang tinggi dan balak jenis ini mula diusahakan sebagai projek percubaan oleh NQHSB di Malaysia sejak 2007.

“Dengan tanaman atas tanah serta cuaca yang tidak menentu di bumi Malaysia, projek percubaan ini adalah satu kejayaan yang boleh terus diusahakan dalam industri pembalakan.

“YTMR akan memulakan proses mengenal pasti rakan strategik (pemilik tanah) serta melatih usahawan dan pekerja perusahaan ini sebelum akhir suku pertama tahun ini dan akan memulakan proses awal penanaman pada suku ketiga 2021 dengan penyediaan pelaburan melebihi RM250 juta bagi fasa pertama,” kata kenyataan itu

Keberhasilan pelaburan balak Balsa akan dapat dilihat dalam tempoh lima tahun akan datang dan YMTR menjangka lebih 1,000 hekta hektar tanah akan ditanam dengan tanaman itu bagi fasa kedua yang akan dimulakan pada suku ketiga 2025. – UtusanTV

KAYU Balsa boleh dijadikan perabot berkualiti.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram