eza edmond

WAJAHNYA mungkin kurang dikenali namun sebut sahaja lagu Bahagia, nama Eza Edmond pasti akan terlintas difikiran kebanyakan peminat. Siapa sangka lagu tersebut benar-benar melonjakkan namanya seterusnya memperkenalkan dirinya kepada khalayak umum.

Bagi Eza, Bahagia benar-benar memberikan pengalaman berharga buatnya. Apa tidaknya, single tersebut telah mengumpul 10 juta tontonan di YouTube dan 40 juta tontonan di saluran lain membuatkan dia antara orang paling gembira.

Kini setelah tiga tahun merakamkan Bahagia, dia tampil dengan lagu Miliki Hatiku yang dilancarkan secara rasmi di saluran YouTube Sheikh Qalam Records sejak 25 Februari lalu.

“Memang saya gembira apabila perjalanan sebagai penyanyi dipermudahkan. Masa mula merakamkan Bahagia dulu, saya sendiri tidak menyangka lagu tersebut diterima baik oleh peminat sehingga tular.

“Sudah pasti apabila hadir dengan single baharu, saya berharap momentum itu akan berkekalan. Setidaknya Miliki Hatimu perlahan-lahan diterima ramai seterusnya mengingatkan semula ingatan peminat kepada diri ini,” katanya.

eza edmond
Eza harap dapat kekalkan momentum dengan single Miliki Hatiku

Jika Bahagia menceritakan tentang kisah duka dalam percintaan, Miliki Hatiku pula lebih pop, mudah didengar dan mempunyai mesej positif dalam perhubungan.

Lagu yang dicipta bersama Aizuddin Madani itu mempunyai bait-bait lirik yang mudah difahami dan tidak berkiasan seperti kebanyakan lagu lain.

Kata anak kelahiran Papar, Sabah ini lagi, trend semasa yang mahukan lirik dan mesej sebegitu menjadi pedoman kepadanya dalam berkarya.

“Bila saya rakamkan Bahagia dulu, saya dapat rasakan pendengar lebih suka kepada lirik yang mudah difahami. Sebab itu untuk lagu kali ini, saya gunakan formula yang sama.

“Harapnya, Miliki Hatiku akan mampu diterima baik selepas dilancarkan. Soal lambat diterima atau tidak, saya tak kisah. Asalkan masih ada yang sudi mendengar pun sudah cukup baik,” jelasnya.

Eza atau nama sebenarnya Eza Hafizah Edmond baharu sahaja menyelesaikan pengajian ijazah dalam bidang Persembahan Muzik di UITM Shah Alam, Selangor.

Dia yang kini ‘terkandas’ di kampung kelahirannya di Papar, berharap agar pandemik Covid-19 ini segera berakhir untuk memudahkannya kembali ke Kuala Lumpur bagi meneruskan acara promosi dan sebagainya.

“Buat masa ini saya masih berada di kampung. Kalau keadaan sudah kembali reda barulah saya pulang ke ibu kota. Sekarang saya hanya fokus membuat promosi secara online dahulu,” ujarnya.

Untuk rekod, sepanjang bergelar penyanyi Eza pernah terlibat dalam pelbagai acara besar termasuklah Boombastik CTDK Hot FM 2019, Konsert Jazz UITM 2019, Showcase Anugerah Meletop Era 2019 dan puluhan acara yang lain.