fiena

MESKIPUN kekurangan diri yang dimiliki, namun ia digantikan dengan kelebihan dari segi suara yang gemersik tatkala menyanyi dan kebolehan mencipta lagu dengan baik.

Itu anugerah daripada Ilahi buat insan istimewa bernama Fiena, 22, atau nama sebenarnya Nur Zafiena Anissa Zaini.

Kemunculannya dalam program Mentor Milenia 2017 bukan saja menyentuh hati penonton tetapi turut membuka mata ramai pihak akan bakat luar biasa yang dimiliki.

Mempersembahkan lagu ciptaan sendiri, Tuhan Jaga Dia Untukku, Fiena berjaya mencipta populariti sekali gus dilamar syarikat rakaman Nova Music untuk menguruskan kerjaya seninya.

Lagu tersebut dirakam dan menjadi single sulung daripada Fiena yang dipasarkan pada 2017 dan berjaya menembusi hampir semua carta stesen-stesen radio utama negara serta video muzik rasmi lagu tersebut berjaya mencapai lebih daripada empat juta tontonan di YouTube.

Selepas empat tahun lagu itu dilancarkan, Fiena kembali dengan sebuah lagi karya terbaharu ciptaannya sendiri, Folio Cinta yang sekali gus menjadi penamat kepada jalan cerita lagu terdahulu.

Berkongsi mengenai lagu berkenaan, Fiena yang juga Orang Kelainan Upaya (OKU) cacat penglihatan berkata, Folio Cinta adalah hasil tugasan bagi projek aplikasi orang buta seluruh dunia iaitu ‘TeamTalk’.

“Lagu Folio Cinta dihasilkan dua tahun lalu yang mana ia adalah tugasan yang diberikan dalam aplikasi TeamTalk. Aplikasi ini membabitkan orang buta di seluruh dunia.

“Bagi melihat sejauh mana perkembangan kami dalam aplikasi ini, jadi setiap orang diberikan tugasan. Saya memilih untuk menghasilkan lagu. Ketika sedang bersantai dalam bilik, idea datang dan saya terus buat lagu dan lirik.

“Walaupun tempoh seminggu diberikan untuk menyiapkan tugasan ini, tapi saya dapat hasilkan dalam masa sehari saja,” katanya.

Tambah Fiena, dia juga tidak menjangka apabila lagu terbabit menjadi pilihan pihak Nova Music untuk diterbitkan sebagai single terbaharu.

“Kebetulan pihak Nova Music minta lagu baharu. Jadi, saya pun beri dua lagu. Tapi, mereka memilih lagu Folio Cinta ini. Sebab diberikan, lagu ini seperti kesinambungan lagu pertama saya dulu.

“Alhamdulillah, lagu ini sudah siap sepenuhnya pada penghujung tahun 2019 dan akan dilancarkan tidak lama lagi. Sudah pasti saya berharap lagu ini akan diterima baik pendengar dan peminat seperti single terdahulu,” ujarnya.

Fiena yang mempunyai bakat menyanyi sejak berusia dua tahun itu memberitahu lirik lagu terbaharunya itu tidak ada kaitan dengan mana-mana pihak.

“Lagu Folio Cinta ini bersifat keseluruhan. Walaupun ia mengenai kisah pasangan kekasih yang curang dan kemudian ingin kembali kepada teman wanitanya, tapi ia tidak ada kaitan dengan mana-mana pihak.

“Ini idea saya sendiri. Saya hanya buat berdasarkan apa yang terlintas di fikiran,” jelasnya.

Bercerita lanjut, Fiena yang turut mahir bermain alat muzik keyboard berkata, dia berharap lagu terbaru akan pergi jauh seperti tercalon dalam Muzik Muzik 36.

“Sama macam penyanyi lain, saya juga berharap lagu ini boleh pergi jauh. Kalau pihak Nova Music mahu mencalonkan lagu ini, saya sentiasa bersedia. Saya juga tidak sabar mahu mendengar maklum balas daripada peminat,” tuturnya.

Menariknya, lagu Folio Cinta terpilih sebagai lagu runut bunyi drama rantaian Aku Bukan Malaikat terbitan Zamriez Golden Pictures yang bakal disiarkan di RTM tidak lama lagi.

Folio Cinta merupakan terbitan Nova Music yang telah dilancarkan di semua pelantar striming muzik digital bermula semalam (Jumaat). Video lirik lagu tersebut juga boleh ditonton di saluran YouTube Nova Music Videos.