Segalanya bermula pada tahun 2012, apabila Sean Robinson menggantung sebuah lukisan yang diterima daripada mendiang neneknya. Pada mulanya, Sean tidak ingat langsung kewujudan lukisan yang tersimpan dalam bilik bawah tanah rumahnya di Cumbria, England.
Suatu hari apabila hujan lebat telah menyebabkan bilik bawah tanah itu dilimpahi air. Dari situ menemukan Sean dengan lukisan misteri yang diberi nama ‘The Anguish Man’ yang membawa maksud – ‘lelaki yang sedang bersedih’.
Menurut kisah yang diceritakan oleh neneknya, lukisan tersebut diberi oleh rakan baik neneknya sendiri. Kononnya, pelukis potret itu mencampurkan darahnya dengan cat sebelum melukis wajah lelaki yang sedang bersedih itu.

Pelukis yang tidak dapat dikesan asal usulnya itu dikatakan bertindak membunuh diri setelah selesai melukis lukisan tersebut. Puncanya? Tiada siapa yang tahu. Namun, kisah itu tidak dapat disahkan kebenarannya kerana cuma disampaikan dari mulut ke mulut.
Isteri Sean sejak awal tidak sukakan lukisan itu. Dia menentang apabila Sean mahu menggantung potret tersebut di ruang tamu rumah. Akur dengan permintaan isterinya, Sean kemudian menggantung lukisan itu dalam sebuah bilik di tingkat dua rumah mereka.
Sejak itu, gangguan demi gangguan mula berlaku. Sean dan ahli keluarganya sering mendengar suara tangisan semenjak lukisan itu digantung dalam bilik tetamu. Hampir setiap malam rumahnya diganggu bunyi bising seperti ketukan dan cakaran pada dinding.
Pada mulanya, Sean sangka bunyi itu datang dari luar rumah. Pernah dia cuba menjejaki dari mana arah datangnya suara misteri itu, dan dia akan sampai ke bilik yang menempatkan lukisan misteri tersebut.

Isteri Sean kerap mengadu terlihat bayangan lelaki yang hanya muncul samar-samar tanpa menunjukkan wajahnya. Manakala anak lelakinya bernama Kenan, mengadu diganggu oleh ‘makhluk’ tersebut. Pernah ketika Kenan sedang menuruni anak tangga rumah, tiba-tiba dia jatuh. Kenan mendakwa ada sesuatu yang menolaknya hingga dia hilang imbangan sebelum terjatuh.
Semakin hari, gangguan yang diterima keluarga Sean semakin bertambah. Jika dulu bunyi tangisan hanya sayup-sayup kedengaran, kini semuanya semakin jelas di telinga mereka. Sean juga sering dikejutkan dengan kehadiran lembaga di penjuru bilik tidurnya. Bayangan itu seolah-olah memerhatikan dia dan isterinya yang sedang tidur.
Sean bertindak dengan meletakkan perakam video di dalam bilik di mana terletaknya lukisan tersebut.
Hasilnya, rakaman menunjukkan ada bayang-bayang lampu yang tidak diketahui tiba-tiba muncul dan hilang dalam bilik itu. Bunyi seperti ada barang jatuh juga kedengaran biarpun tiada apa-apa yang aneh kelihatan di sekitar lukisan itu. Pintu bilik juga kelihatan terbuka dan tertutup dengan sendirinya biarpun tiada sesiapa yang berada di situ.
Sean memuat naik rakaman itu ke laman Youtube dan mendapat banyak respons daripada penonton seluruh dunia. Kebanyakan mereka ingin tahu dari mana datangnya lukisan misteri yang dimiliki oleh Sean. Namun, Sean sendiri masih tertanya-tanya siapa pelukis asal lukisan berhantu yang dimilikinya itu.
Seorang produser filem daripada Amerika Syarikat berminat untuk memfilemkan misteri lukisan ‘The Anguished Man’ dan menawarkan untuk membeli lukisan itu dengan harga $32 ribu dolar Amerika. Namun, tawaran itu ditolak oleh Sean.

Setelah kisah misteri lukisan itu tersiar di Internet, Sean menerima banyak e-mel dari seluruh dunia menyatakan keinginan mereka untuk membeli lukisan tersebut. Namun, dia tidak berminat untuk menjual lukisan berhantu itu.
Walaupun dia sekeluarga kerap diganggu sejak lukisan itu ada di rumahnya, tapi tidak terlintas untuk dia menjual barang yang diwarisi daripada mendiang neneknya itu.
Lukisan tersebut telah diturunkan dan disimpan semula di dalam bilik bawah tanah rumah mereka. Kadangkala, masih terdengar bunyi-bunyi pelik yang datang dari dalam bilik itu, tetapi Sean hanya pekakkan telinga.
Malah, anjing peliharaan mereka juga langsung tidak mahu mendekati bilik bawah tanah, keadaan yang sama sewaktu anjing itu mengelak untuk menghampiri bilik tingkat dua yang meletakkan lukisan tersebut suatu ketika dulu.
_____________________
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram.