Nama bunga ini KADUPUL, berasal dari Sri Lanka. Masyarakat Sri Lanka menganggap bunga ini sebagai bunga legenda kerana dikaitkan dengan Nagas. Dipercayai bahawa apabila bunga-bunga tersebut mekar, Nagas akan turun dari langit untuk mempersembahkannya kepada Buddha di gunung suci Sri Pada.

Di India pula, bunga ini disebut sebagai ‘Brahma Kamalam’ di mana segala doa akan termakbul di sepanjang musim bunga. Sementara di Jepun pula, ia dikenali sebagai ‘Gekka Bijin’ yang bermaksud ‘kecantikan di bawah bulan’. Kadang-kadang, ia juga dirujuk sebagai cereus kerana menghasilkan cahaya pada malam.

Kadupul yang merupakan spesies kaktus.

Saintis telah menemui dua jenis Kadupul di Sri Lanka dan kedua-duanya memiliki perbezaan yang ketara.

Spesies pertama dinamakan sebagai Epiphyllum Hookeri, yakni tanaman Kadupul yang mana bunganya mempunyai kelopak nipis. Berdaun panjang kira-kira dua meter tanpa batang dan menghasilkan bunga kecil sekitar 15 sentimeter.

Spesies kedua pula dipanggil Epiphyllum Oxypetalum. Jenis ini mempunyai bunga lebih besar dengan kelopak bersaiz lebar dan daun pendek kira-kira 30 hingga 40 sentimeter.

Kadupul merupakan spesies kaktus. Tumbuhan ini mudah ditanam dan cepat berkembang. Pada hari ini, tumbuhan ini ditanam meluas di pelbagai belahan dunia termasuklah India, Mexico, Venezuela dan Brazil. Ia juga ditanam di bahagian Amerika dengan suhu yang lebih panas seperti Texas dan California.

Tumbuhan ini akan bertunas sebelum mengeluarkan bunga yang lembut, halus, berwarna putih dan kekuningan.

Sungguhpun ia tumbuhan yang hidup di permukaan tanah, bunganya didapati bersifat epifit, yakni menggunakan tumbuhan atau benda lain seperti pokok besar dan kulit kayu sebagai sokongan untuk menjadikannya lebih kuat.

Ahli botani mengklasifikasikan Kadupul sebagai tumbuhan yang sangat unik dan bukan sembarangan bunga. Malah, ia menerima julukan sebagai bunga paling ‘mahal’ di dunia. Mengapakah spesies ini digelar sedemikian?

Secara semula jadi, setiap pokok Kadupul boleh mengeluarkan bunga sehingga 100 kuntum. Namun, bunga-bunga itu hanya akan berkembang pada waktu malam iaitu sekitar pukul 10 malam hingga 11 malam sahaja. Bunga itu akan terus mekar hanya untuk tempoh dua jam seterusnya.

Saat ia kembang, bunganya mengeluarkan aroma yang aneh. Komponen wangian utama dalam aroma tersebut diistilahkan sebagai benzyl salisilat. Ada mengatakan, baunya begitu mempesonakan dan menenangkan sekali. Sebab itu jika berada di dalam hutan dan tiba-tiba terhidu bau wangi di tengah-tengah malam, jangan takut kerana mungkin bau itu mungkin dikeluarkan oleh tumbuhan.

Bunga Kadupul mempunyai tempoh hayat yang pendek.

Daripada segi kitar hayat pula, ia biasanya tidak berpihak kepada bunga Kadupul. Jangka hayat bunga yang satu ini boleh dikatakan agak tragis. Bunganya cenderung memiliki waktu mekar yang sangat singkat iaitu sekitar satu hingga dua jam sahaja, sedangkan ia mengambil masa setahun untuk berkembang. Dan menjelang Subuh, bunga itu akan mati sebelum sempat dipetik dari batangnya. Inilah antara alasan yang menjadikan ia sebagai bunga paling mahal di dunia.

Disebabkan tanaman ini hanya boleh berkembang sekali setahun dan bunganya pula mekar semalaman sahaja, Chengyu atau peribahasa Cina klasik pernah mengguna pakai keadaan tumbuhan ini dalam kehidupan manusia. Dalam peribahasa tersebut menggambarkan seseorang yang memperoleh pencapaian yang tidak disangka-sangka dalam masa singkat adalah seperti ‘kilat dalam kuali’, sama seperti bunga Kadupul.

Oleh kerana, bunga Kadulup hanya akan bertahan selama beberapa jam sahaja selepas mekar pada malam hari, jarang ada orang yang berjaya memetiknya.

Malah difahamkan, ia tidak pernah dilihat atau dijual di kedai-kedai bunga, bahkan dalam talian. Pendek kata, bunga istimewa ini tidak boleh dibeli di mana-mana pun di belahan dunia kerana usianya yang rapuh, menjadikan nilainya sangat tinggi berbanding bunga-bunga lain.

_____________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram.