ART Fazil sekali lagi bekerjasama buat kali ketiga dengan pelawak Imuda menerusi single berjudul Jam!
Lebih menarik lagi apabila gabungan mereka berdua itu turut disertai oleh Baba Andy ( Andy Flop Poppy) sebagai vokalis dan pemain bass.
Mempertaruhkan konsep muzik Blues gaya ‘old school’ dengan petikan gitar akustik dan elektrik Addy Cradle yang memainkan rentas blues disambut oleh tiupan harmonika Imuda serta dimantapkan lagi dengan irama bass yang dimainkan Andy dan hentakn dram oleh Bani Hidir.
Tajuk lagu ini sememangnya sudah jelas memberi gambaran tentang senikata lagu ini. Sesuai dengan konsep muzik Blues lagu ini menyuarakan keluhan tentang kesesakan jalan raya yang sering menghantui penduduk kota secara santai dan berseloroh.
Menurut Art, idea untuk merakam lagu ini sudah lama berputik dan direncanakan sejurus selepas keluarnya Rilek Brader dan Orang Baik Baik pada 2013 dan 2015.
“Rakaman lagu ini sudah siap dari lewat 2019, namun memandangkan keadaan saya dan Imuda yang sama-sama sibuk dengan kerjaya masing-masing, maka pelancaran single Jam! ini ditangguhkan sehingga kini.
“Dengan rentaknya yang bersahaja serta melodi dan senikata yang ‘catchy’-mudah diikuti, ia diharap akan menghiburkan serta memikat hati peminat muzik.
“Lagu ini terilham dari pengamatan saya tentang keadaan hidup di kota metropolitan Kuala Lumpur. Idea lagu ini juga saya ambil dari perbualan harian teman-teman warga kota yang sering mengeluh tentang keadaan trafik terutama di waktu pagi dan menjelang malam.
“Seperti mereka yang harus memandu ke tempat kerja dan tersangkut di lebuhraya kerana padat dengan kenderaan yang harus hantar anak pergi sekolah dan juga di waktu waktu cuti umum di kala musim perayaan,” katanya.

Dalam pada itu, faktor persahabatan dan senang bekerjasama membuatkan Art memilih dua temannya untuk berkolobarasi.
“Saya memilih mereka berdua kerana mereka adalah dua artis yang ada “cool factor” dan “street cred”. Imuda terkenal dengan identiti sebagai seorang pelukis,pemain muzik Blues dan pelawak.
“Andy pula memang masyhur dengan band indie Flop Poppy dan dia adalah seorang pemuzik multi-instrumentalist. Bass dalam lagu ini dimainkan oleh Andy dan harmonika oleh Imuda,” ujarnya.
Sementara itu, Andy memberitahu dia tertarik dengan lagu Blues dan Rock & Roll namun yang paling penting ialah kerana kerjasama bersama Art dan Imuda.
Katanya, kedua sahabat itu dianggap sebagai lagenda buat dirinya selain menganggap lagu ini membuatkan dirinya dapat keluar dari zon selesa.
“Seronok sangat masa penggambaran video, naik trak pick up seharian keliling KL mencari suasana kesesakan. Tak pernah-pernah mencari jam, tapi hari tu kita cari jam.
“Bila berhenti dalam kesesakan, siap ada orang buat permintaan lagu lagi. Tiada sesaat pun yang kita rasa tertekan dalam pembikinan lagu ini, dari rakaman lagu sehinggalah ke penggambaran video muzik,” tutur Andy.
Buat imuda pula, lagu Jam! ini memenuhi dan kena dengan citarasa bluesnya. Sudah beberapa kali bekerjasama, Imuda menganggap kolaborasi ini relaks tanpa masalah.
“Masa penggambaran muzik video Jam! memang betul-betul ada ‘jam’. Satu hari suntuk kita menyanyi dan merasai lagu Jam! dalam kesesakan bersama-sama.
“Dengan selambanya kita duduk di belakang kereta itu keliling satu bandaraya Kuala Lumpur. Seronok orang tengok kita, ada yang ekori kita lagi, semua orang tengok tapi kita buat muka tebal,” kongsi Imuda tentang pengalamannya sepanjang menjalani penggambaran video muzik Jam!.