GOBEK API – Teknologi awal alam Melayu untuk hasilkan api

0
478

Tahukah anda bahawa alat pemetik api yang kita gunakan pada hari ini sebenarnya teknologi lama yang digunakan oleh masyarakat zaman dahulu? Apa yang membezakannya adalah reka bentuknya sahaja.

Pernahkah anda mendengar nama ‘Gobek Api’?

Sebenarnya, orang Melayu di rantau ini dahulu sudah mempunyai teknologi canggih untuk menghasilkan api dengan lebih cepat. Teknologi yang boleh dikelaskan sebagai perkakasan menghasilkan api ini sebenarnya telah lama berkembang di alam Melayu sejak ratusan tahun lampau.

Gobek Api antara ciptaan epik yang digunakan masyarakat Melayu zaman dahulu. Difahamkan, ia digunakan sebagai perantara bagi menghasilkan bahan bakar untuk tujuan memasak atau sumber pencahayaan pada waktu malam.

Gobek api.

Meskipun dicipta sejak ratusan tahun dulu, penggunaan alat ini masih lagi digunakan oleh sesetengah individu pada hari ini. Cuma, penggunaannya sudah tidak meluas seperti dulu kerana sudah ada ciptaan baru lebih canggih pada waktu sekarang.

Terdapat dua koleksi Gobek Api yang tersimpan rapi di Muzium Warisan Melayu UPM. Berdasarkan koleksi pertama, ia diperoleh dari negeri Kedah, manakala bagi koleksi kedua pula diambil dari Terengganu.

Biarpun fungsinya sama, dua koleksi ini berbeza antara satu sama lain. Gobek Api yang diperoleh daripada bahagian Kedah merupakan milik seorang individu rakyat biasa. Keseluruhan material diperbuat daripada tanduk kerbau.

Manakala bagi koleksi dari negeri Terengganu, pemilik asalnya ialah seorang individu berstatus bangsawan. Material Gobek Api kepunyaannya diperbuat dengan bahan berkualiti tinggi. Pada bahagian hulu diperbuat daripada ‘akar bahar’ iaitu sejenis batu karang hitam yang diambil dari dasar laut. Pada hujung sarung pula menggunakan gading gajah. Di bahagian batang atau antan, material utama ialah tanduk kerbau.

Selain tanduk kerbau dan akar bahar, alatan ini turut diperbuat daripada beberapa jenis material lain. Sebagai contoh, kayu keras, timah atau buluh. Bagi pemilik berstatus bangsawan, terdapat bahagian-bahagian tertentu dibuat khas pada gobek api mereka.

Dua koleksi gobek api yang tersimpan di Muzium Warisan Melayu UPM.

Pada keseluruhan bentuk, ia biasanya dibuat sama seperti sejenis senjata kecil yang dipanggil badik. Selain itu, Gobek Api turut dihias dengan ukiran halus atau logam berharga seperti perak dan ditatah batu permata.

Gobek api terdiri daripada dua bahagian iaitu lubang silinder berongga dan rod pencucuh. Kaedah menghasilkan api menggunakan alat ini hampir sama dengan mekanisme sebuah enjin.

Pada bahagian batang atau antan bertindak sebagai omboh dan bergesel dengan bahagian dinding silinder. Pada proses ini, berlaku tekanan dan mampatan udara sekali gus menghasilkan suhu tinggi melebihi 400 darjah Celsius. Pada takat suhu ini, ia kemudiannya akan melakukan proses penyalaan atau pembakaran rabuk di bahagian lubang silinder.

Bagi mendapatkan penyalaan lebih cepat, beberapa peraturan perlu dipatuhi. Antaranya, material pembakaran iaitu rabuk hendaklah kering serta diletakkan dalam jumlah yang mencukupi. Ketika melakukan proses memampatkan udara dan menarik antan, ia mestilah dilakukan dengan cepat dan stabil. Bagi melicinkan pergerakan antan, penggunaan lemak haiwan turut digunakan bagi menghasilkan geseran yang cukup pada bahagian lubang silinder.

Pada abad ke -18 hingga 19, ramai sarjana dunia dan tempatan melakukan kajian terhadap alat ini. Pada tahun 1927, seorang penyelidik antropologi British, Ivor HN Evans telah melakukan penelitian berkaitan gobek api ini. Kajian bertajuk ‘Papers on the Ethnology and Archaeology of the Malay Peninsula’ mengkaji gobek api yang tersimpan di Muzium Perak.

Kemudian pada tahun 1947, seorang penulis dari Amerika Syarikat, John J. Rowlands telah menghasilkan sebuah buku bertajuk ‘Cache Lake Country’. Dalam buku itu ada menerangkan perihal mekanisme Gobek Api.

Penggunaan alat ini turut mendapat perhatian seorang anggota tentera laut Amerika Syarikat, Mel DeWeese. Beliau tertarik selepas menyaksikan penggunaan Gobek Api di kalangan orang asli di Filipina. Oleh sebab minat terhadap alat itu, dia telah menukarkan pemetik api miliknya berjenama Zippo dan gula-gula getah Hubba Bubba sebagai barang tukaran bagi mendapatkan Gobek Api tersebut.

Pada tahun 2002, dua orang penyelidik Jepun, Masanori Ogata dan Yorikazu Shimotsuma telah membentang kajian bertajuk ‘Origin of Diesel Engine is in Fire Piston of Mountainous People Lived in Southeast Asia’. Dua penyelidik tersebut membentangkan hasil kajian mereka di sebuah persidangan antarabangsa, ICBT (International Conference on Technology Transfer).

Tahukah anda, berdasarkan kajian dilakukan, pemetik api yang kita guna pada hari ini sebenarnya terhasil daripada proses ‘tiru semula’ daripada teknologi yang dicipta oleh masyarakat Melayu nusantara dahulu.

_______________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram.