Guru, umpama lilin yang membakar diri. Darjat dan martabat guru yang tinggi sentiasa abadi dalam hidup setiap insan, walau sudah bersara, panggilan itu tetap tersemat dan kekal di bawa ke liang lahat.

Namun penangan media sosial membawa satu perspektif baru kepada profesion mulia ini. Satu pintu baru yang tidak pernah tersingkap sehingga memberi impak besar, membuka ruang kepada kecaman netizen.

Berkongsi paparan netizen mengenai gelagat guru yang melakukan siaran langsung di media sosial, jelas Cikgu Mohd Fadli Salleh aplikasi telefon pintar seharusnya digunakan untuk berkongsi isi bermanfaat dan bukan sebaliknya.

Malah, guru popular ini turut menasihati rakan lain agar mewujudkan akaun personal yang tidak membawa profesion perguruan untuk perkongsian di media sosial.

“Teguran ni pada saya secara peribadi perlu diterima dengan hati yang terbuka.

“Soal teguran agak kasar dengan ayat kurang sesuai tu, saya tak sokong. Namun pointnya itu ada kebenarannya.

“LIVE, TikTok jika digunakan dengan cara yang betul, sangat bagus sebenarnya. Ramai cikgu bahkan golongan seperti peguam, doktor pun buat TikTok yang bermanfaat. Bagus sungguh!

“Namun jika kita (guru) rakam video gedik, dengan pakai nametag, situasi kat sekolah atau dalam kelas, melibatkan pula murid-murid, agar kurang manis dan kurang sesuai.

“Jika video pembelajaran yang bermanfaat, okey. Namun jika ianya sengaja buat gedik, manja, tak okey. Ia mencalarkan profesion pendidikan sebenarnya.

“Jadi cikgu langsung tak boleh enjoy main TikTok, buat LIVE sempoi macam orang lain?Boleh. Tiada masalah. Cuma jangan bawa bersama tittle guru, jangan libatkan sekolah dan murid-murid.

“Lebih molek jika buat satu akaun khas untuk bersosial. Elakkan add murid-murid dan parents. Elakkan kaitan dengan profesion pendidikan. Hah, nak menggedik ke apa, bila orang tak libatkan profesion okey lah.

“Jika bawa nama profesion sama, jika libatkan murid, sekolah dan seumpamanya elok jaga tingkah laku. Boleh buat LIVE or TikTok, tapi yang memberi manfaat. Yang buat orang lebih respek dengan profesion pendidikan itu.

“Saya sendiri banyak kali buat silap. Saya sendiri banyak kali ditegur, dan teguran yang elok dan ada benarnya, saya terima dan ubah.

“Tak perlu nak melenting, tak perlu nak berbahas dan berbalas kecaman. Jika salah, kita sama-sama betulkan. Gituh.

#MFS– Masih belajar dan masih banyak kesilapan. Tolong pakat tegur ya.”

Terdahulu tular gelagat seorang guru merakamkan aksi di dalam kelas secara live di laman sosial miliknya sehingga mengundang reaksi netizen.

Sumber : Mohd Fadli Salleh