KUALA LUMPUR – Tiga pemimpin pelapis UMNO menguasai tiga tempat teratas dalam kaji selidik Menuju PRU-15 UtusanTV, ‘Siapakah pemimpin pelapis pilihan anda?’ yang berakhir hari ini selepas seminggu dijalankan.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan memperolehi 7,908 atau 32 peratus daripada keseluruhan 24,449 undi bagi membolehkan beliau yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO menduduki tempat pertama mengatasi 15 calon lain.

Dr.ASYRAF WAJDI DUSUKI
KHAIRY JAMALUDDIN

Shahril meninggalkan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr.Asyraf Wajdi Dusuki di tempat kedua yang mendapat 7,294 undi atau 30 peratus manakala bekas Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin menduduki tempat ketiga dengan 3,704 undi (15 peratus).

Bekas Ketua Armada Bersatu yang kini menubuhkan parti MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menduduki tempat keempat dalam kaji selidik yang mendapat 39,791 klik itu.

Beliau yang sering mengetengahkan isu-isu berkaitan anak muda memperolehi 1,628 undi (7 peratus) dan dipisahkan dengan kelebihan hanya 500 undi daripada Ahli Parlimen Pasir Mas daripada Pas, Ahmad Fadhli Shaari yang mendapat (1,204 undi) yang berada di tempat kelima.

Ketua Pemuda Pas, Ir. Khairil Nizam Khirudin pula hanya meraih 929 undi (4 peratus) di tempat keenam manakala Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Abduh Nik Aziz mendapat 374 undi (2 peratus) di tempat ketujuh dan tempat kelapan Ahli Parlimen Setiawangsa dari PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad (346 undi atau 1 peratus).

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Fadzil yang dianggap penyokong tegar Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menduduki tempat kesembilan, satu tangga di atas Ketua AMK yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Nasir di tempat kesepuluh.

Ahmad Fahmi memperolehi 336 undi atau 1 peratus manakala Akmal Nasrullah (281 undi atau 1 peratus)

Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad yang sering mencetuskan kontroversi dengan kenyataan politiknya menduduki tempat ke-11.

Beliau yang merupakan Timbalan Menteri Belia dan Sukan hanya mendapat 1 peratus undi atau 147 undi daripada keseluruhan 24,449 undi.

Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan menduduki tempat terakhir daripada 15 calon apabila mendapat hanya 49 undi atau 0 peratus.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr. Arif Bahardin berada di kedudukan 12 apabila hanya memperoleh 129 undi atau 1 peratus. Tempat ke-13 pula ialah ADUN Templer, Mohd Sany Hamzan yang mendapat 65 undi atau 0 peratus manakala Ketua Pemuda Amanah Shazni Munir Mohd Ithnin di tangga ke-14 dengan 59 undi atau 0 peratus.

Kejayaan Shahril, Aysraf Wajdi dan Khairy menguasai tiga tangga teratas dari segi perolehan undi bukanlah sesuatu yang mengejutkan.

Ia memandangkan sejak kali pertama UtusanTV menjalankan kaji selidik Menuju PRU-15 pada 24 Februari lalu, Barisan Nasional (BN) dan UMNO serta pemimpinnya sentiasa menjadi pilihan utama.

Dalam kaji selidik ‘Siapakah pilihan anda dalam PRU-15’, BN menduduki tempat pertama dengan 19,400 undi daripada keseluruhan 55,449 undi manakala bagi kaji selidik ‘Siapakah calon PM pilihan anda’, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berjaya mengatasi sembilan calon lain apabila mendapat 27,176 undi daripada 58,188 undi keseluruhan.

Kaji selidik UtusanTV Menuju PRU-15 diteruskan hari ini dengan topik ‘Siapakah pemimpin wanita pilihan anda? Seramai 13 calon disenaraikan ialah termasuk tiga pemimpin sayap parti kerajaan dan pembangkang.

Bagaimanapun kedudukan dan perolehan undi dijangka berubah menjelang PRU-15. Ia bergantung kepada perkembangan politik semasa melibatkan sama ada individu atau mahupun parti-parti terlibat.

Bagi memastikan ketelusan undian, pengunjung hanya boleh mengundi sekali sahaja untuk setiap alamat internet protokol (IP).

Semasa tempoh undian, pasukan lama web UtusanTV juga memantau dengan dekat bagi mengelakkan sebarang kemungkinan penggunaan robot. Pengundian menggunakan WP-Polls (Undian WordPress) – perisian yang dikenali sebagai mempunyai peraturan yang ketat.

UtusanTV adalah platform media pelbagai kandungan berita semasa dan bisnes yang diolah bagi menampilkan perspektif yang mudah difahami umum.
Kandungan portal ini menggabungkan enam majalah yang dikenali sejak berzaman iaitu Mastika (1941), Wanita (1969), URTV (1970), Al Islam (1974), Saji (1995) dan Hijab (2013). – UtusanTV