Tahukah anda, di India ramai wanita sanggup menjadi ‘kilang’ untuk melahirkan anak. Ekoran kadar kemiskinan yang tinggi di negara itu, kumpulan wanita ini sanggup berbuat demikian dan menjadikan aktiviti ini sebagai sumber pendapatan bagi menyara keluarga mereka.

Kilang ‘menghasilkan’ anak ini banyak tertumpu di bandar-bandar besar yang terletak di India. Selain itu, kilang ini mempunyai ciri-ciri yang unik dan merupakan satu-satunya perusahaan di dunia tidak menggunakan  100 peratus sebarang teknologi canggih. Dalam bahasa mudah, ia dikenali sebagai ‘khidmat ibu tumpang’.

Wanita warga tempatan kebiasaannya menawarkan khidmat tersebut kepada pasangan suami isteri yang tidak mampu menghasilkan zuriat.

Wanita India menawarkan khidmat sewaan rahim.

Berdasarkan statistik dari Konfederasi Industri India, khidmat mengambil upah sebagai ibu tumpang mula mendapat permintaan tinggi di kalangan wanita warga tempatan. Ia menjadi fenomena baru di negara itu apabila lebih banyak premis yang menawarkan perkhidmatan ini mulai dibuka. Percaya atau tidak, sejak ia mula diperkenalkan pada tahun 2012, khidmat sewaan rahim mampu memperoleh keuntungan dua bilion dolar setiap tahun.  

Bagaimana prosesnya?

Menurut salah seorang pemilik premis khidmat sewaan ibu tumpang, Dr. Shivani Sachdev Gour, setiap ibu tumpang yang diupah perlu menjalani beberapa prosedur yang telah ditetapkan.

Langkah pertama, mereka wajib menandatangani dokumen persetujuan dengan pasangan atau klien yang ingin mendapatkan khidmat mereka. Ia penting untuk pengesahan bahawa bakal pasangan yang mengupah mereka akan bertanggungjawab sepenuhnya sebagai penjaga mutlak sebaik bayi dilahirkan nanti.   

Langkah kedua, selepas persetujuan dimeterai ibu tumpang ini akan menjalani pemindahan embrio ke dalam rahim mereka. Dalam proses pemindahan ini, embrio yang dimasukkan hasil percantuman sperma dan ovum yang dilakukan oleh pasangan yang mengupah mereka.

Langkah seterusnya, wanita yang menjadi ibu tumpang itu diwajibkan menginap  selama sembilan bulan di premis yang mereka duduki. Berada di sini, mereka akan diberikan penjagaan rapi seperti pemeriksaan kesihatan berkala dan diberikan makanan yang sihat. Proses ini penting demi kesihatan bayi dalam kandungan mendapat nutrisi yang mencukupi dan bebas daripada sebarang penyakit.

Sebahagian ibu tumpang di sebuah premis.

Setelah cukup tempoh yang diperuntukkan, bayi yang dilahirkan akan diserahkan kepada pasangan yang mengupah mereka. Sebaik proses penyerahan, si ibu tumpang akan diberikan bayaran berdasarkan perjanjian bertulis sebelum ini.

Ujar  Dr.Shivani, pembayaran bagi setiap kelahiran bayi selalunya berjumlah $6,000 dolar ke $28,000 dolar. Kongsinya, sejak premisnya mula dibuka pada tahun 2008, sudah ratusan bayi berjaya dilahirkan oleh ibu tumpang mereka. Kebanyakan bayi-bayi itu bersama dengan keluarga mereka di 15 buah negara berlainan termasuklah Kanada, Australia, Japan, Norway dan Brazil.

Seorang ibu tumpang, Seita Thapa berkata, dia mengambil keputusan menyewa rahim miliknya kerana ingin mendapatkan wang perbelanjaan untuk pendidikan anaknya. Selain itu, dia berbuat demikian kerana mahu menunaikan impian pasangan-pasangan yang tidak mampu melahirkan zuriat.

Dia meluahkan perasan bangga kerana dapat melahirkan seorang bayi comel kepada pasangan suami isteri dari Australia. Meskipun hanya sebagai ibu tumpang, dia menganggap bayi dan pasangan tersebut sebagai keluarga kandungnya sendiri.  

Sementara itu, Mamta Sharma pula memberitahu, sejak menjadi ibu tumpang kehidupan keluarganya semakin selesa berbanding sebelumnya. Hasil upah yang diterima selepas melahirkan bayi bagi pasangan dari Australia, Sharma kini mampu membeli sebuah rumah dan perbelanjaan pendidikan untuk empat orang anaknya.  

______________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram.