lobus temporal god spot

Imam Musbikin dalam bukunya bertajuk Kehebatan Kuasa Istikharah menceritakan, God Spot pada awalnya dikesan pada pesakit yang mengalami halusinasi apabila mereka mengalami episod mistik yang kuat seterusnya mewujudkan obsesi dalam diri mereka berkaitan persoalan kerohanian. 

Kajian terus dilakukan untuk mengesan gelombang otak pesakit yang mengalami gangguan tersebut dengan meletakkan sensor pada dahi pesakit. Dan dalam pencarian itu, mereka menemui pancaran gelombang yang kuat berpunca dari satu titik yang berada di lobus temporal, salah satu dari bahagian otak. 

Dengan menggunakan alatan ujian yang sama, sekumpulan sukarelawan yang sihat turut diuji. Mereka diminta untuk memberikan tumpuan pada soal ketuhanan dan kerohanian. Dan ternyata, terdapat gelombang yang dipancarkan dari titik yang sama seperti pesakit yang mengalami halusinasi. 

Hasil dari penemuan itu, maka para pengkaji membuat kesimpulan bahawa terdapat satu kawasan di lobus temporal yang bertanggungjawab dalam soal-soal kerohanian.

“Justeru, titik pancaran gelombang itu dikenali sebagai God Spot atau Titik Tuhan”

Apa pun dari penemuan Titik Tuhan tersebut, Imam Musbikin turut membuat kesimpulan, dalam kejadian manusia, Allah bukan sahaja membekalkan fitrah kejadian manusia untuk beragama yang ada dalam setiap diri manusia itu secara semula jadinya, tetapi fitrah itu tidak berdiri secara bersendirian. 

Sebaliknya ia disokong oleh alatan yang turut disertakan dalam kesempurnaan kejadian manusia itu sendiri dengan adanya penciptaan lobus temporal yang terletak di bahagian otak manusia. Sekali gus, ia turut membuktikan, selain iman, betapa manusia pada hakikatnya mampu untuk mencari dan mengenal siapa Tuhan.

Dalam diri manusia telah ada titik ketuhanan iaitu percaya adanya tuhan

Dan hakikat ini juga sebenarnya telah lama ditemui oleh para ulama Islam seperti Ibnu Thufail (1100 – 1185) yang menceritakannya dalam karyanya yang bertajuk Hayy bin Yaqzhan.

“Sebenarnya Allah mencipta manusia dalam keadaan mereka mempunyai potensi bagi mengenal dan memenuhi segala suruhannya,” jelas Imam Musbikin, memetik tulisan serta kata-katanya yang terkandung dalam buku tersebut. 

Aktifkan Gelombang Ketuhanan

Apa pun mengenali kewujudan Tuhan, akan hanya dapat diterjemahkan dalam kehidupan manusia sekiranya alat ketuhanan (God Spot yang terletak di lobus temporal) yang dibekalkan dalam  diri manusia itu diaktifkan dengan perisian ketuhanan atau kerohanian iaitu agama. 

Jelas Imam Musbikin, sebaik God Spot diaktifkan, gelombang otak mula berubah. Sebelum manusia melakukan solat istikharah, otak berada dalam gelombang beta. Hal ini akan berubah sebaik solat istikharah dilakukan.  Dari gelombang beta ia berubah menjadi gelombang alfa iaitu gelombang yang jauh lebih lancar dari gelombang beta. 

God Spot dapat diaktifkan dengan pengisian agama dan kerohanian

Dan gelombang ini akan terus berubah sekiranya solat istikharah yang dilakukan dalam keadaan yang lebih khusyuk. Tatkala itu gelombang alfa tersebut berubah pula kepada gelombang delta yang selalunya dicapai oleh para sahabat Nabi s.a.w. Lantas tidak hairanlah jika Saidina Ali r.a. tatkala sahabat hendak mencabut anak panah yang terkena kakinya, dia terlebih dahulu mengarahkan agar dilakukan ketika dia sedang bersolat. 

Dan ketika Ali mencapai tahap kemuncak kekhusyukan dalam solatnya (gelombang delta), maka ketika itu anak panah tersebut dicabut dari kakinya tanpa ada sedikit rasa sakit pun yang dialami oleh Saidina Ali.  Dikatakan ketika itu, berlaku penyatuan kerohanian di antara Sayidina Ali r.a. dengan Rabbul A’lamin (seseorang akan merasa terlalu hampir dengan Tuhannya).  

Gelombang delta selalu dikaitkan dengan gelombang Kaabah dan hari Arafah apabila doa yang dipanjatkan kepada Allah, akan dimakbulkan. Pun begitu bagi manusia biasa, kemampuan untuk mencapai tahap gelombang delta adalah kebarangkaliannya terlalu sedikit. 

Kebanyakannya akan berada pada tahap gelombang theta, iaitu gelombang yang perlahan dan ia selalunya terhasil ketika sedang tidur atau bermimpi. Dan yang paling penting, pada saat gelombang berada pada tahap yang rendah itu, maka hidayah Allah akan masuk ke dalam diri seseorang. 

Setiap manusia perlukan tuhan dalam diri mereka. Hanya mereka yang berjaya mencapai titik ketuhanan akan merasa tenang dalam diri.

Dapat diringkaskan, seseorang yang melakukan solat istikharah dengan khusyuk sehingga mencapai tahap gelombang theta, maka mudah baginya untuk memperoleh hidayah daripada Allah. Dan melalui mimpi, adalah cara bagi mengekstrak hidayah dan menatijahkannya ke alam nyata.

Dan apabila seseorang itu terjaga dari tidurnya, maka gelombang otaknya berubah menjadi gelombang alfa sekali gus dapat mengingati mimpinya dan berupaya menganalisis serta mentafsir mimpi yang diterima sebagai hidayah daripada Allah S.W.T.

Kerana itu kerap kali kita ditemukan dengan orang-orang yang masuk Islam atau kembali kepada fitrah disebabkan oleh mimpi mereka yang menginsafkan. Wallahu a’lam

________________________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram