nabila razali

GARA-gara terkucil ketika menyampaikan lagu Peluang Kedua di pentas Anugerah Juara Lagu 35 (AJL35), nama penyanyi Nabila Razali telah tular dan menjadi bahan hentam daripada netizen yang tidak berpuas hati dengan mutu persembahannya.

Namun, pujian tetap harus diberikan kepada penyanyi berusia 28 tahun itu kerana berjaya menyudahkan lagu hasil ciptaan Hael Husaini dan MFMF itu dengan profesional.

Menjengah ke ruangan akaun laman sosial Instagram pemilik nama penuh Nur Nabila Mohd. Razali itu, dia telah membuat permohonan maaf kepada pencipta lagu terbabit.

“Saya sudah cuba yang terbaik…Saya minta maaf sangat-sangat @haelhusaini @wearemfmf,” tulisnya ringkas.

Menerusi semakan di ruangan komen, komposer dan juga penyanyi Hael turut meninggalkan komen dan kata-kata semangat buat Nabila.

Bagi Hael, Nabila adalah pemangkin inspirasi buat dirinya untuk terus berkarya dan berusaha gigih dalam apa sahaja yang dilakukan.

“Awak adalah contoh inspirasi pada saya. Bekerja keras dan sentiasa buat yang terbaik. Saya bangga dengan awak! Terima kasih kerana menyanyikan lagu Peluang Kedua,” kata Hael.

Selain Hael, MFMF juga turut tidak ketinggalan meninggalkan ucapan bangga terhadap semangat yang diberikan oleh Nabila sepanjang merealisasikan persembahan berkenaan.

“Kami sentiasa bersama kamu, Bella! Kamu telah banyak peningkatan dan memberikan persembahan yang ikhlas. Jika tiada yang melihat, maka mereka tidak menghargainya,” ujarnya.

Tak hanya pencipta lagu sahaja, malah ramai rakan artis turut memberi komen kata-kata semangat dan meluahkan rasa bangga kepada Nabila pada malam itu.

Semalam, nama Nabila dan lagu Peluang Kedua turut sohor kini di medium laman sosial Twitter apabila warganet kecewa dan meminta penyanyi itu untuk berhenti menyanyi.

Ada juga yang berpendapat susunan muzik Peluang Kedua itu agak tinggi dan tidak sesuai dengan nada suaranya.

Namun dalam pada teruk dihentam, ada juga sebahagian warga maya berfikiran positif dan menganggap Nabila telah memberikan yang terbaik pada malam AJL35 itu.

Jom join channel Telegram UtusanTV untuk ikuti berita terkini dan sensasi

TONTON VIDEO PILIHAN: