Laporan langgar SOP
Kekecohan yang tercetus ketika Kongres DAP di Ipoh semalam.


ANALISIS

Kelmarin portal Malaysiakini melaporkan berita bagaimana sekumpulan pegawai kerajaan menyambut kepulangan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dari lawatan Ke Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) antara yang hadir termasuk beberapa menteri.

Semalam pula, Free Malaysia Today melaporkan kenyataan dua peguam dan seorang Ahli Parlimen yang menggesa siasatan bebas dijalankan ke atas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Zuraida Kamaruddin kerana didakwa melanggar perintah kawalan pergerakan berkaitan acara ‘fun ride’.

Sama ada kedua-dua peristiwa itu melanggar SOP atau tidak, biarlah siasatan menentukan, tetapi pada masa siasat juga Kongres DAP Perak, nampak meriah dan ada yang mempersoalkan sama ada berlaku perlanggaran SOP atau tidak?

Tulisan ini tidak bertujuan menuding jari kepada sesiapa tetapi apa yang mahu diperkatakan, ahli politik tidak kira kerajaan atau pembangkang perlu menunjukkan teladan.

Mereka tidak harus melakukan tindakan yang boleh menimbulkan persoalan apatah lagi precept bahawa tak kan kala rakyat diminta patuhi SOP, Ahli politik pula ikut suka hati. Pandai-pandailah bawa diri, jangan rasa kita bertaraf pemimpin tambahan pula berada dalam kerajaan, kita rasa boleh buat apa sahaja.

Orang masih tidak lupa bagaimana seorang menteri memberi sumbangan ketika menjelang Tahun Baru Cina baru-baru ini. Sepatutnya majlis seumpama itu tidak diadakan kerana melibatkan kehadiran orang ramai, khabarnya 500 orang. Jangan biarkan imej kerajaan terus dipertikaikan.

Begitu juga pembangkang, kenapa tiada mana-mana pemimpin pembangkang atau penyokong mereka mendesak siasatan dijalankan adakah Kongres DAP di Perak itu melanggar SOP atau tidak.

Kalau tidak mahu dilihat ‘double standard’ desaklah siasatan dijalankan, baru adil. Jangan pula bila kena sahaja pemimpin kerajaan bukan main hebat lagi mereka berhujah, termasuklah mengungkit soal denda RM10,000 dikenakan kepada rakyat.

Penulis bukanlah mahu mempertahankan mana-mana kelompok tetapi dalam bab mematuhi SOP, pelaksanaan mesti adil. Kalau rakyat boleh dikenakan tindakan, kenapa pula tindakan ke atas Ahli politik seolah-olah begitu sukar dilakukan.

Yang penting buat siasatan dahulu, kalau betul ada ahli politik melanggar SOP seperti mana diperkatakan ambil tindakan tidak kiralah pembangkang atau kerajaan, bertaraf menteri atau wakil rakyat, ahli Parlimen mahupun ADUN.

Namun kita berharap mereka yang bertaraf pemimpin berhati-hati dalam tindak tanduk dengan memastikan SOP dipatuhi, tidak kiralah di majlis atau acara apa sekalipun. Kalau sudah tahu acara atau majlis yang diadakan boleh menyebabkan kemungkinan berlaku perlanggaran SOP atau akan dianggap melanggar SOP, lebih baik ia tidak diadakan.

Rakyat sudah muak membaca berita berhubung dakwaan pemimpin atau ahli politik melanggar SOP, walaupun heboh diperkatakan dalam media sosial, namun senyap sunyi…tiada apa-apa tindakan sedangkan orang tertanya-tanya betul atau tidak, dakwaan tersebut.

Mungkin ia tidak betul kerana biasalah dalam suasana politik sekarang macam-macam perkara dibangkitkan, walaupun sesetengah tu bila kena pihak lawan riuh sekampung, bila kawan sendiri buat, diam macam ayam berak kapur. Bila sesuatu tindakan menguntungkan mereka, seribu satu hujah dizahirkan, bila tidak menguntungkan mereka seribu satu tuduhan dilemparkan. ‘Unik’ politik Malaysia ni…