Mungkin ramai tidak tahu, dalam dunia penyelidikan psikologi, wujud sejenis penyakit ganjil yang digelar sebagai sindrom ‘boanthropy’. Ia merupakan sejenis bentuk gangguan mental dan mengubah perilaku individu itu.

Golongan yang didiagnosis penyakit ini akan menunjukkan kelakuan pelik persis seperti seekor lembu. Kebiasaannya, individu yang menghidap penyakit ini akan menunjukkan beberapa tanda. Sebagai contoh, mereka akan kerap merangkak dan obses terhadap rumput yang dianggap sebagai makanan kegemaran mereka. Kadangkala dua situasi ini boleh berlaku serentak di mana pesakit akan memakan tumbuhan tersebut dalam keadaan merangkak.

Sindrom boanthropy.

Penyakit aneh ini pernah direkodkan dalam sejarah perubatan dunia. Berdasarkan catatan lama mendapati, pemerintah empayar purba Neo-Babylon (605 Sebelum Masihi hingga 562 Sebelum Masihi), Raja Nebuchadnezzar II pernah didiagnosis penyakit tersebut.

Sindrom boathropy ialah sejenis gangguan psikologi di mana pesakit percaya diri mereka telah bertukar menjadi seekor lembu. Merujuk tanda-tanda awal, pesakit selalunya cenderung memilih untuk mengamalkan diet vegetarian sebelum selera itu cenderung untuk memakan rumput.

Ilustrasi menggambarkan pemerintah empayar purba Neo-Babylon, Raja Nebuchadnezzar II pernah didiagnosis penyakit ini.

Selain gemar memakan rumput, pesakit sedikit demi sedikit akan mengalami perubahan sikap seperti seekor lembu. Apa punca yang menyebabkan kelakuan abnormal ini terjadi?

Setakat ini tiada bukti kukuh yang dapat mengaitkan punca kejadian sindrom ganjil ini. Berdasarkan perubatan moden hari ini, kewujudan penyakit ini masih menjadi isu polemik di kalangan pakar perubatan dunia.

Meskipun tiada kes dilaporkan dan statistik tepat jumlah sebenar pesakit sindrom ini, sesetengah pengamal perubatan percaya penyakit ini wujud. Oleh sebab tiada penerangan lanjut dibuat menyebabkan kemunculan penyakit ini tidak diketahui ramai orang.

Bagaimanapun, ada sesetengah saintis mendakwa penyakit ini diklasifikasikan sebagai porphyria. Mengikut laporan The Pharmaceutical Journal, ia merupakan sejenis gangguan metabolisme porfirin. Keadaan ini boleh menyebabkan gejala neurologi seperti halusinasi, kemurungan, kebimbangan dan paranoia.

Selain porphyria, ada sesetengah kajian turut mengaitkan keadaan ini sebagai proses metamorfosis manusia menjadi haiwan. Proses ini digelar sebagai therianthropy iaitu merujuk kepada individu yang mempunyai dua identiti atau kelakuan, sebahagian manusia dan juga haiwan.

Sementara itu, Pakar Psikiatri Kanada, Dr. Eric Berne mengemukakan satu hipotesis berkaitan penyakit ini. Menurutnya, perubahan identiti seorang manusia kepada haiwan mungkin disebabkan oleh satu perlakuan yang dipanggil Totemisme. Ia merupakan istilah terhadap satu fahaman yang percaya bahawa tumbuhan dan haiwan turut memiliki roh, sama seperti manusia.

Turut dikaitkan berpunca akibat fahaman Totemisme yang mempercayai bahawa tumbuhan dan haiwan turut memiliki roh.

Fahaman ini banyak diamalkan oleh suku-suku puak orang asli iaitu Cippewa dan Ojibwa di Amerika Utara. Kedua suku ini percaya kewujudan roh haiwan atau tumbuhan membantu memelihara kumpulan mereka dari bahaya dan ancaman buruk yang tidak diingini. Selain itu, puak suku orang asli akan mengekspresikan kepercayaan ini menerusi ukiran-ukiran kayu, fabrik dan sebagainya.

Adakah sindrom boanthropy ini berbahaya?

Sesetengah pakar psikologi barat berpandangan, jika tidak mendapatkan rawatan segera ia boleh mengakibatkan risiko yang serius. Penyakit ini boleh menyebabkan kesan sampingan lain seperti strok, kemurungan, hilang fokus, kebimbangan melampau dan sebagainya.

Bolehkah penyakit ini diubati?

Setakat hari ini belum ada penawar yang mampu menyembuhkan penyakit aneh ini. Bagaimanapun, ia boleh dikurangkan jika pesakit menghadiri sesi terapi dan kaunseling.

___________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram.