Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini seolah-olah mahu meredakan spekulasi berhubung kerjasama parti itu dengan UMNO apabila menegaskan, ia masih terlalu awal untuk diputuskan.

Sambil tidak menafikan kemungkinan berlakunya kerjasama antara kedua-dua parti, Anwar berkata, adalah tidak wajar jika ada mana-mana pihak membuat andaian sudah ada persefahaman.

“Kalau baca seluruh konteks (laporan) itu saya kata agak terlalu awal untuk kita katakan ada perjanjian atau persefahaman.

“Ada perbincangan awal antara PKR dan Umno (dan) saya tak nafikan kemungkinan kerjasama. Ini saya sampaikan kepada ahli Parlimen dan pimpinan negeri untuk sampaikan kepada akar umbi,’’ katanya pada sidang media di Petaling Jaya hari ini.

Bagaimanapun Anwar tidak menjelaskan dengan siapa berbincang sebaliknya menegaskan, beliau berhak berbincang dengan sesiapa sahaja termasuk sama ada seseorang itu didakwa atau disiasat.

Menjawab satu soalan, Anwar sekali lagi menegaskan, beliau yakin mempunyai sokongan mencukupi di Parlimen untuk membentuk kerajaan.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson yakin kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak mempunyai majoriti mudah di Dewan Rakyat.

‘’Meskipun tiga ahli parlimen PKR keluar parti untuk menyokong PN baru-baru ini, Muhyddin masih tidak mempunyai sokongan secukupnya untuk terus menjadi perdana menteri. Saya mempunyai jumlah secukupnya (sokongan Ahli Parlimen),” kata Anwar.

Ahli Parlimen Port Dickson itu mempersoalkan keabsahan Muhyiddin selaku perdana menteri, yang menurut beliau hanya mempunyai sokongan terhad di Dewan Rakyat.

“Yang penting kenapa tak tanya berapa (sokongan) Perikatan Nasional ada?. Bagaimana anda boleh simpulkan mereka (PN) ada majoriti dengan tiga Ahli Parlimen menyokong mereka?” tegas beliau.

Anwar berkata, dakwaan PN mereka mempunyai sokongan 111 atau 112 Ahli Parlimen tersasar kerana sebilangan mereka menyokongnya.

“Secara teknikalnya, mereka hanya ada sokongan 100 (Ahli Parlimen). Mereka tidak ambil kira Warisan, Pejuang (kumpulan pro-Mahathir Mohamad), dan Muda (Syed Saddiq Syed Abdul Rahman),” katana.

Anwar berkata tindakan tiga ahli Parlimen PKR menyokong Muhyiddin tidak mengubah kerapuhan kerajaan PN.

“Mereka ingat mereka ada majoriti, tetapi sebenarnya masih tidak cukup, ” katanya.

Pada sidang media itu, Anwar juga mendakwa PN berusaha memancing lima Ahli Parlimen PKR untuk keluar dan menyokong Muhyiddin.

Lima Ahli Parlimen itu ialah M Karuppaiya (Padang Serai), S Kesavan (Sungai Siput), Awang Husin (Putatan), Michael Teo Yu Keong (Miri) dan Natrah Ismail (Sekijang).