jamal abdillah

DATUK Jamal Abdillah akui meletakkan sasaran untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu kejayaan dalam Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35) yang berlangsung pada Ahad lalu di Auditorium MBSA, Shah Alam.

Menurut Jamal, 62, dia bersyukur apabila lagu Belenggu Rindu nyanyiannya bersama Wany Hasrita dinobatkan sebagai pemenang tempat ketiga pada malam itu.

“Saya sama seperti peserta lain yang meletakkan sasaran untuk meraih kejayaan dengan lagu yang dipertandingkan. Kalau tidak dapat lagu terbaik, mungkin persembahan terbaik atau vokal terbaik.

“Apa-apa pun saya dan Wany tetap bersyukur kerana lagu ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong ini berada di senarai tiga teratas dalam AJL35.

“Saya tahu Wany memang berharap lebih daripada itu, tapi saya cuba memujuk hatinya dan memberitahu tidak mengapa jika ada peluang lain, kita akan cuba lagi.

“Berada di tempat ketiga pun sudah buatkan saya gembira dan ia membuktikan Belenggu Rindu ada nilai disebalik karya yang kami sampaikan,” katanya ketika dihubungi URTV.

AJL35 menyaksikkan penyanyi Kaka Azraff, Noki dan Loca B dinobatkan sebagai juara menerusi lagu Gila.

Lagu hasil ciptaan Ezra Kong, Noki dan Loca B itu melayakkan mereka membawa pulang trofi dan wang tunai RM50,000.

Manakala naib juara pula dimenangi oleh Aina Abdul menerusi lagu Semalam yang juga meruapakan hasil ciptaannya sendiri. Aina membawa pulang trofi dan wang tunai RM35,000.

Dalam perkembangan lain, Jamal yang sinonim dengan gelaran Raja Pop itu bakal terlibat dengan sebuah projek mega melibatkan ramai penyanyi popular tanah air.

Kata penyanyi Neraca itu lagi, peluang tersebut hadir apabila pihak Warner Music Malaysia menawarkan kerjasama yang bakal meninggalkan momen istimewa sepanjang 48 tahun penglibatannya dalam industri muzik.

“Pihak Warner Music ada tawarkan kepada saya sebuah projek iaitu Jamal and Friends yang bakal menyaksikan saya berduet dengan penyanyi-penyanyi tanah air termasuklah merakamkan 20 buah lagu bersama mereka nanti.

“Kemungkinan besar, pemilihan penyanyi pula akan dipilih oleh saya bersama dengan pihak Warner Music. Apa yang pasti, projek ini memang sangat mega dan amat dinantikan oleh saya,” kongsinya.