Butiran hijau yang melekat pada jari seperti gambar di atas sebenarnya sejenis tumbuhan berwarna hijau. Ya, saiznya sangat kecil dan halus. Jika anda nak tahu, inilah dia tumbuhan paling kecil di dunia.

Tumbuhan ini dikenali dengan nama saintifik ‘Wolffia Angusta’. Jika dilihat pada bentuknya, ia bagaikan butiran yang lebih halus daripada beras. Panjangnya berukuran 0.6 milimeter dengan lebar 0.3 milimeter. Sebab itu ia disebut sebagai tumbuhan bersaiz paling kecil di dunia.

Tumbuhan ini tergolong dalam sembilan hingga 11 spesies tumbuhan bunga terkecil di bumi. Saiznya yang halus membolehkan flora ini hidup terapung di kawasan berair seperti kolam dan tasik.

Wolffia Angusta, tumbuhan paling kecil.

Walaupun kecil, tumbuhan ini boleh membiak memenuhi ruang tasik sehingga hampir keseluruhan air dilihat berwarna hijau. Tasik Maracaibo di Venezuela antara lokasi popular yang menjadi ruang tumbuhan ini berkembang.

Menurut laporan laman Earth Observatory, dianggarkan sejumlah 18 peratus iaitu bersamaan 13,280 kilometer persegi permukaan tasik Maracaibo dipenuhi dengan tumbuhan ini. Keadaan itu menyebabkan permukaan tasik dilihat sebagai sebuah kawasan hijau. Ini kerana tempoh tumbesaran tumbuhan ini sangat cepat iaitu dengan pertambahan saiz sebanyak dua kali ganda dalam masa dua hari.

Uniknya, tumbuhan ini boleh hidup tanpa adanya batang dan daun. Ia hanya mengeluarkan bunga (lemna) yang secara tidak langsung turut dikenali sebagai saiz paling kecil di dunia. Duckweed atau lemna memiliki bentuk lebih besar daripada tumbuhan ini. Kedua-duanya tergolong dalam kategori tumbuhan akuatik terapung.

Apabila disentuh menggunakan jari, rupanya dapat dilihat lebih jelas termasuk saiz tumbuhan tersebut. Bentuknya bujur dan halus sementara lemna sedikit bulat dan kelihatan seperti daun. Walaupun berbentuk seakan daun, ia sebenarnya bunga yang terhasil daripada tumbuhan hijau yang kecil ini.

Tumbuhan ini walaupun kecil tetapi mempunyai kelebihan tersendiri. Haiwan seperti ikan, itik dan burung akuatik yang sinonim dengan habitat air menerima sumber khasiat dalam makanan melalui flora ini.

Tumbuhan ini tidak mengandungi toksik yang berbahaya. Akan tetapi, sesetengah saintis berpendapat perkembangan flora ini mampu menghalang alga daripada menghasilkan oksigen di dalam air. Ia turut memberi masalah kepada pengusaha kapal kecil, golongan nelayan dan penduduk sekitar kerana flora tersebut dikatakan mengeluarkan bau yang tidak menyenangkan.

Kesan yang lebih buruk boleh berlaku sekiranya permukaan tasik dilitupi sepenuhnya dengan tumbuhan ini yang berisiko menyebabkan hidupan di bawah permukaan tasik mati kerana kekurangan oksigen.

Tumbuhan ini juga mudah tersebar ke tempat lain. Bagi golongan nelayan atau orang ramai yang berkunjung ke tasik, mereka akan menggunakan bot atau sampan.

Tumbuhan bersaiz kecil ini akan melekat pada permukaan sekeliling bot. Kesannya, apabila mereka berkunjung ke kawasan baru, flora tadi akan turut sama berpindah ke lokasi tersebut lalu membiak dengan cepat. Mengawal pembiakan tumbuhan ini sangat penting agar ia tidak berisiko menjejaskan kehidupan lain di bawah air.

_____________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram