Sekat akaun Instagram Siti Nurhaliza, Aishah kata tak sengaja

0
547
aishah

NAMA penyanyi Aishah menjadi perbualan hangat beberapa hari kebelakangan ini apabila ada pihak mendakwa dia telah menyekat akaun laman sosial Instagram milik penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Tidak menafikan tindakan yang dilakukannya itu, Aishah atau Wan Aishah Wan Ariffin bagaimanapun mengakui tidak sengaja berbuat demikian kerana keliru dengan lambakan akaun palsu yang menggunakan nama penyanyi nombor satu negara itu.

“Semasa separuh akhir Muzik-Muzik ke-35 (SFMM35) ada orang ‘tag’ saya di Instagram adindaku ini. Dan semasa ‘panas’ itu kan, saya terbaca kecaman dalam akaun itu.

“Bagi meredakan hati yang sedih dikecam, dicemuh dan macam-macam lagi, saya ‘block’ akaun berkenaan yang mana saya tak perasa pun itu Instagram utamanya.

“Kerana adindaku ini ‘superstar’, saya jadi keliru fasal saya tengok banyak akaun Instagram yang ada nama beliau. Kelakar kehidupan sekarang ya, kalau tak boleh ‘tag’ Instagram seseorang terus fikir perkara yang bukan-bukan.

“Biasalah, kita ada kehidupan sendiri di luar media sosial ini. Anda perlu tahu, saya ini ‘old school’, komunikasi secara langsung itu lebih penting daripada akaun-akaun media sosial ini,” katanya.

Jelas Aishah, 56, dia berharap tiada lagi pihak yang cuba membangkitkan isu terbabit sekaligus mengelak daripada membuat fitnah terhadapnya.

Sebelum ini, Aishah teruk dihentam netizen kerana menggantikan Siti pada SFMM35 bagi lagu Aku Bidadari Syurgamu dan ramai berpendapat suaranya kurang ‘menyengat’ untuk membawakan lagu berkenaan.