TERTUDUH, Mohd Azam Azhari Juhari merupakan pegawai Imigresen gred KP19.

Dia yang berumur 39 tahun antara pegawai dan kakitangan Jabatan Imigresen Malaysia yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam Op Selat.

Hari ini Mohd Azam Azhari didakwa di mahakamah atas pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2,600 pada 2019 dan tahun lalu.

Yang lebih menjadi perhatian, SPRM berjaya melucut hak hasil penerimaan rasuah oleh Mohd Azam Azhari masing-masing sebuah kereta pacuan empat roda Ford Ranger, motosikal berkuasa tinggi Ducati V4S dan basikal ‘roadbike’ S works.

Memetik laporan The Star, ini selepas permohonan SPRM dibenarkan mahkamah.

Sekadar perkongsian maklumat, semakan laporan media mendapati ketika dilancarkan tahun lalu, harga Ducati Panigale V4S and Panigale V2, dijual pada RM172,000 dan RM109,900.

Apa yang menjadi tajuk berita utama media ketika itu apabila hasil Op Selat mendapati ada yang ditahan memiliki kereta mewah sedangkan ia tidak sepadan dengan pendapat bulanan mereka sebagai penjawat awam.

Pendakwaan ke atas Mohd Azam Azhari hari ini dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Fadhli Ab. Wahab manakala defendan diwakili peguam Naim Kamaruddin.

Untuk pertuduhan yang dihadapinya, Mohd Azam Azhari dipenjara 10 hari dan didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2,600 pada 2019 dan tahun lalu.

Hakim Rozilah Salleh membuat keputusan itu selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan tersebut yang dibacakan oleh jurubahasa hari ini.

Mengikut pertuduhan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan itu, Mohd Azam Azhari dijatuhi hukuman denda RM10,000 dan boleh dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda selain mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara 10 hari bermula hari ini.

Mengikut kertas pertuduhan lapor BERNAMA, Mohd Azam Azhari yang merupakan pegawai Imigresen gred KP19 telah menerima suatu benda berharga tanpa balasan iaitu wang berjumlah RM2,600 daripada seorang individu yang mempunyai hubungan dengan kerja rasminya.

Perbuatan itu dilakukannya di kaunter Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) sekitar November 2019 hingga Mac 2020.

Terdahulu, Mohd Azam Azhari yang ditahan dalam Op Selat mengaku tidak bersalah atas satu lagi pertuduhan pilihan menerima wang suapan berjumlah RM2,600 di bawah Seksyen 25 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Mengikut pertuduhan, dia pada tarikh dan tempat yang sama, bertindak sebagai orang tengah bagi melepaskan warga asing daripada sebarang tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/63, yang tertuduh telah melanggar peruntukan Akta SPRM untuk menggalakkan integriti dan kebertanggungjawaban pentadbiran sektor awam.

Bagaimanapun, mahkamah hari ini memerintahkan pertuduhan pilihan ke atasnya itu dilepaskan dan dibebaskan.

Baca artikel berkaitan: Rasuah penjawat awam membimbangkan – KP SPRM

Selain itu, mahkamah turut membenarkan permohonan SPRM untuk melucut hak hasil penerimaan rasuah oleh Mohd Azam Azhari iaitu masing-masing sebuah kereta pacuan empat roda Ford Ranger, motosikal berkuasa tinggi Ducati dan basikal ‘roadbike’ Sworks.

Daripada laporan The Star, Hakim Rozilah ketika menjatuhkan hukuman mengingatkan yang semua penjawat awam perlu menjunjung amanah dan tanggungjawab negara.

“Anda bertanggungjawab pada pintu masuk negara. Anda gagal dan khianat pada semua.

“Rasuah merosakkan masyarakat dan negara,” tegas Rozilah.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram