bazar aidilfitri kembali
Bazar Aidilfitri kembali ke lokasi asal di Lorong Tuanku Abdul Rahman, umum Tan Sri Annuar Musa.

BAZAR Aidilfitri kembali ke lokasi asal di Lorong Tuanku Abdul Rahman yang akan dibuka semula pada 17 April ini iaitu hari kelima puasa dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pencegahan penularan COVID-19.

Perkara itu diumumkan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa menerusi Twitter beliau hari ini.

Pada tahun 2019, tapak bazar berkenaan dipindahkan ke Jalan Raja bagi mengatasi isu berbangkit termasuk aspek kebersihan, tadbir urus dan pihak yang mengambil kesempatan mengaut untung atas angin.

“Demi memenuhi rayuan peniaga bazar Aidilfitri, kita bersetuju bukan saja untuk benarkan bazar dibuka, tapi kita hidupkan semula bazar di tapak asal di Lorong Tuanku Abdul Rahman, mulai 17 April ini,” katanya.

Bazar Aidilfitri kembali ke lokasi asal di Lorong Tuanku Abdul Rahman selepas dipindahkan ke Jalan Raja pada 2019./Gambar media sosial.

Baca artikel berkaitan: Bazar Ramadan, Aidilfitri dan solat tarawih dibenarkan

Walaupun ada aspek positif apabila bazar tersebut dipindahkan ke Jalan Raja, namun ramai warga kota merasai terdapat sesuatu yang kurang terhadap lokasi itu.

Justeru selain peniaga, ramai warga kota merasakan bazar Aidilfitri kembali ke Lorong Tuanku Abdul Rahman kerana selain elemen nostalgia, kemeriahannya turut lebih dirasai.

Selasa lalu, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri dibenarkan beroperasi di seluruh negara bagi tahun ini dengan mengikut SOP yang ketat.

Selain bazar Ramadan dan Aidilfitri, Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) turut membenarkan pelaksanaan solat tarawih secara berjemaah sepanjang bulan Ramadan kelak.

Namun begitu, Ismail Sabri berkata, SOP yang ketat perlu dipatuhi oleh semua pihak bukan sahaja peniaga di bazar Ramadan dan Aidilfitri tetapi juga setiap pengunjung yang hadir.

Menurut Ismail Sabri, antara syarat-syarat yang ditetapkan bagi pelaksanaan bazar Ramadan dan Aidilfitri adalah lokasi di kawasan terbuka, menyediakan laluan sehala bagi pintu masuk dan keluar, pendaftaran MySejahtera di pintu masuk serta kawalan jumlah pengunjung.

Waktu operasi yang ditetapkan adalah dari pukul 3 petang hingga 8 malam bagi bazar Ramadan dan pukul 10 pagi hingga 12 tengah malam bagi bazar Aidilfitri dengan SOP lain akan diumumkan kemudian kerana tempoh pelaksanaannya lambat lagi.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram