Kartel dalam PDRM, IGP tak pernah bawa ke SPP – Hamzah

0
538
Datuk Seri Hamzah Zainudin./ Gambar fail media sosial

MENTERI Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, ini merupakan kali pertama beliau mendengar ‘ada kartel dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM)’.

Tegas Hamzah, pendedahan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mengenai kartel dalam pasukan polis yang mahu menjatuhkannya itu juga tidak pernah dibawa ke dalam mesyuarat Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP).

“Sekiranya dakwaan Abdul Hamid itu benar, beliau sepatutnya membawa perkara itu dalam mesyuarat SPP.

“Dia tak pernah bawa isu ini dalam SPP padahal SPP adalah suruhanjaya tertinggi dalam perkhidmatan polis,” katanya yang merupakan Pengerusi SPP.

Hamzah berkata demikian kepada media selepas melancarkan Bas Mobile Jabatan Pendaftaran Negara di Putrajaya hari ini.

Beliau diminta mengulas pendedahan Abdul Hamid menerusi program ‘Sinar Live bersama IGP’ semalam bahawa wujud gerakan dalam kalangan pegawai muda PDRM yang bercita-cita untuk menjatuhkannya.

Abdul Hamid mendakwa gerakan itu juga merupakan kumpulan sama yang mendalangi kartel dalam PDRM dengan hasrat mendominasi pasukan keselamatan negara demi kepentingan mereka.

Baca artikel berkaitan: “Rasa nak piat saja telinga mereka” tegas IGP pada kartel nak jatuhkan beliau

Ditanya mengenai prestasi Abdul Hamid sebagai Ketua Polis Negara, Hamzah berkata beliau gembira dengan perkhidmatan Abdul Hamid setakat ini.

Abdul Hamid dilantik sebagai Ketua Polis Negara secara kontrak selepas bersara bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa 4 Mei 2019 hingga 3 Mei 2021.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram