Hamzah minta IGP
Hamzah Zainudin pada program Malaysia Prihatin KDN di Ipoh hari ini./Gambar FB KDN

“SAYA telah hantar teks mesej kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador,” kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Menurut Hamzah, dalam mesej itu semalam, beliau meminta laporan penuh mengenai pendedahan wujudnya gerakan kartel dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mahu menjatuhkan Abdul Hamid.

Katanya, laporan penuh itu supaya pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) dapat memaklumkan kepada rakyat sesuatu yang lebih jelas.

“Saya tak mahu perkara yang samar-samar ini menimbulkan perasaan,persepsi yang kurang baik.

“Sebab itu saya minta Abdul Hamid laporkan (gerakan kartel) kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Polis (SPP),” katanya.

Hamzah minta IGP
Hamzah minta IGP sediakan laporan penuh berhubung isu kartel dalam PDRM ketika bercakap pada pemberita selepas Program Malaysia Prihatin di Ipoh hari ini./Gambar FB KDN

Hamzah berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Malaysia Prihatin KDN di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh hari ini.

Beliau mengulas mengenai pendedahan Abdul Hamid berhubung kartel dalam PDRM daripada pegawai muda untuk menjatuhkannya demi melakukan kerja kotor.

Namun, Hamzah yang juga Pengerusi SPP berkata, itu pertama kali beliau mendengar ada kartel dalam PDRM dan Abdul Hamid tidak pernah membawa isu itu kepada SPP.

Baca artikel berkaitan: “Rasa nak piat saja telinga mereka” tegas IGP pada kartel nak jatuhkan beliau

Kartel dalam PDRM, IGP tak pernah bawa ke SPP – Hamzah

Abdul Hamid semalam menjelaskan, pendedahan dibuatnya bagi memberi kesedaran kepada kumpulan kecil berkenaan.

Tegasnya, apa yang didedahkan beliau itu memang benar berlaku dan tindakannya mendedahkan hal itu bagi mengelakkan ia bertukar menjadi kanser dalam PDRM.

Namun katanya, ia tidaklah sampai ke tahap memerlukan beliau untuk membuat laporan polis bagi menanganinya.

Menurut beliau, kumpulan ini tidak sama sesekali menjejaskan apa-apa kerana pegawai bawahannya sentiasa taat dan patuh kepada pasukan.

“Tak boleh bekerja dengan selera sendiri. Mereka ini ada pemikiran yang suatu hari bila naik pangkat, kita akan perintah Malaysia, ini semua kawan-kawan.

“Itulah mentaliti yang ada pada kumpulan ini dan ada pula cubaan dari orang luar yang punya rekod tak baik cuba mengeruhkan lagi keadaan,” jelasnya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram