SUSULAN tindakan Korea Utara memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia, semua kakitangan diplomatik dan tanggungan mereka di Kedutaan republik itu di Kuala Lumpur diarah meninggalkan negara ini.

Mereka dikehendaki berbuat demikian dalam tempoh 48 jam mulai hari ini.

Pada masa sama, Kedutaan Malaysia di Pyongyang masih belum beroperasi sejak ditangguhkan pada 2017.

Dalam satu kenyataan Kementerian Luar hari ini, Malaysia amat kesal dengan keputusan Korea Utara untuk memutuskan hubungan diplomatik.

“Malaysia mengecam keputusan itu yang disifatkan tidak wajar, tidak membina dan tidak menghormati hubungan baik sesama masyarakat antarabangsa,” kata kementerian dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Malaysia kini terpaksa akur dengan keputusan Korea Utara untuk menutup Kedutaan Malaysia di Pyongyang, yang operasinya telah ditangguhkan sejak 2017.

Wisma Putra berkata kerajaan akan mengeluarkan arahan supaya semua kakitangan diplomatik dan tanggungan mereka di Kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur meninggalkan Malaysia dalam masa 48 jam mulai hari ini.

Menurut laporan media, Pyongyang pada Jumaat mengumumkan akan memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia selepas mahkamah awal bulan ini memutuskan seorang ahli perniagaan dari Korea Utara diekstradisi ke Amerika Syarikat (AS) atas tuduhan pengubahan wang haram.

Korea Utara hari ini mengumumkan bahawa negara itu memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia.

Menurut Kementerian Luar Pyongyang, ia adalah tindak balas terhadap tindakan Malaysia mengekstradisi seorang rakyat Korea Utara ke Amerika Syarikat (AS), awal bulan ini.

Kementerian itu menyifatkan tindakan berkenaan sebagai ‘jenayah tidak boleh dimaafkan’ yang didakwa dilakukan kerana tekanan AS.

“Kementerian Luar Korea Utara mengumumkan hubungan diplomatik dengan Malaysia diputuskan secara total,” menurut laporan agensi berita KCNA.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram