Dikenali sebagai "Thiyagu B" di aplikasi TikTok

“TAMBI itu ape bang”? Bukan semua dalam kalangan kita petah berbahasa dalam lidah kaum lain terutama Cina dan India, selain bahasa yang kita dibesarkan.

Jika ya, kelebihan itu sudah pasti menjadi karakter “plus” dalam resume untuk “menjual” diri di alam pekerjaan kelak yang sememangnya dicari oleh perekrut syarikat-syarikat di luar sana.

Melihat kepada negara yang berlatarbelakangkan pelbagai kaum dan agama, seorang pemuda India ini tampil memberanikan diri mengajar Tamil kepada sesiapa yang berminat untuk belajar.

“Kita kan satu Malaysia,” luah Thiyagu Vajeravei.

Beliau yang kini berusia 29 tahun, mesra disapa Thiyagu, terkejut apabila video-video yang dikongsi olehnya mendapat respon positif daripada warga siber.

“Pada mulanya, niat saya hanyalah untuk berkongsi maksud-maksud nama panggilan itu di dalam bahasa Tamil. Saya terkejut dan tidak sangka video yang saya kongsi itu akan menjadi tular,” katanya kepada Utusan TV.

Salah satu video di aplikasi TikTok milik Thiyagu

Dia yang berasal dari Puchong, Selangor berpandangan tidak salah untuk berkongsi bahasa dengan kaum-kaum lain, sekurang-kurangnya orang yang berminat boleh belajar serba sedikit mengenai perkataan biasa digunakan dalam sebutan berbeza.

“Kita tinggal di bumi Malaysia yang berbilang bangsa jadi saya fikir, ada baiknya saya kongsikan maksud-maksud itu supaya masyarakat kita lebih memahami antara satu sama lain, tidak disalah guna serta dapat menyatupadukan kaum.

“Mungkin sebelum ini ada segelintir individu tidak peka dengan maksud bahasa-bahasa Tamil ini seperti tambi, anne, amma, dan appa. Kata panggilan ini boleh memudahkan kita untuk berkomunikasi antara kaum-kaum yang ada di Malaysia ini,” kata Thiagu yang kini mempunyai sebanyak 155,400 pengikut di aplikasi TikTok.

Mengimbau kembali ketika mula-mula menggunakan aplikasi itu, walaupun ada pihak melontarkan komen-komen berbaur berkauman, dia langsung tidak ambil pusing mengenainya.

“Sejak saya bermula menggunakan aplikasi TikTok pada tahun 2018, ada segelintir individu yang cuba membuat provokasi dengan memuat naik komen-komen berunsur perkauman.

“Namun saya langsung tidak ambil hati dan enggan berkongsi video-video begini, sedikit sebanyak boleh mendidik masyarakat kita untuk menghormati antara satu sama lain,” ujarnya.

Menurut usahawan peranti mudah alih itu, dia gembira kerana respon yang diberikan oleh warga net semuanya positif dan rata-rata mereka memintanya teruskan lagi dengan pengisian seperti ini.

“Salah satu lagi tujuan saya berkongsi kandungan video seperti ni juga adalah untuk kita bersama-sama merapatkan kaum di negara kita,” katanya, dan menambah salah satu video memaparkan dirinya sedang mengajar bahasa tamil pernah meraih hampir sejuta tontonan.

Selain memuji inisiatif pemuda ini, ramai turut memberi kata-kata semangat serta galakan untuk terus berkongsi input-input seperti ini di media sosial.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram