Lee Zii Jia./ Gambar FB All England

“VICTOR Axelsen salah seorang idola saya namun saya telah bersedia,” kata finalis All England 2021, Lee Zii Jia yang memilih merendah diri menjelang aksi bersejarah itu petang ini.

Walaupun sedar berdepan pencabar hebat yang juga pemain pilihan kedua kejohanan, Zii Jia jelas tenang mengurus situasi bagi menghadiahkan kejohanan berperestij itu kepada negara.

Pemain persorangan utama negara yang menundukkan pemain No. 1 dunia, Ken Momota pada aksi suku akhir itu mengakui ‘tewas’ kepada tekanan yang cukup hebat dalam beberapa kejohanan sebelum ini.

Namun, kata atlet kelahiran Kedah berusia 23 tahun itu, kali ini beliau memilih untuk meraikan setiap perlawanan di All England dengan pada masa sama cuba memberikan yang terbaik.

“Ini final All England pertama saya, harap saya mendapat rehat yang cukup,” katanya dalam nada merendah diri ketika ditemu bual media rasmi selepas aksi separuh akhir malam tadi.

Tambah pemain pilihan keenam All England itu, aksi pentas final pastinya sesuatu yang sangat mencabar kerana bakal berdeban tentangan salah seorang pemain yang hebat.

“Axelsen salah seorang idola saya, saya amat menyukai cara permainan beliau.

“Namun saya akan bersedia,” jelasnya yang terdahulu mengejutkan pemain utama dunia, Ken Momota di aksu suku akhir.

Baca artikel berkaitan: Seluruh England: Zii Jia ke separuh akhir, tewaskan pemain nombor 1 dunia

Zii Jia kini selangkah lagi bergelar juara seluruh England selepas melakar kemenangan bergaya dengan menewaskan pemain dari Belanda Mark Caljouw.

Pemain itu yang sebelum ini menerima kritikan terhadap persembahan kurang bertenaga akhirnya membuktikan dia masih berbisa dengan melakar kemenangan straight set 21-13,21-17.

Menanti jaguh perseorangan negara itu di pentas akhir adalah juara bertahan tahun lalu dari Denmark Viktor Axelsen.

Viktor Axelsen menundukkan rakan senegara, Anders Antonsen 16-21, 21-7, 21-17.

Ia adalah peluang terbaik buat Zii Jia membalas dendam apabila tunduk kepada Axelsen di separuh akhir tahun lalu.

Sebagai rekod, kali terakhir pemain Malaysia muncul juara Seluruh England adalah menerusi legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei yang menjuarainya pada edisi 2017.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram