LIMA hari lalu polis menerima laporan seorang ahli politik bergelar Datuk didakwa mencabul isteri orang.

Kejadian berkenaan dilaporkan berlaku di sebuah kediaman di Taman Melawati, dekat Ampang Jaya.

Ini seperti mana laporan Sinar Harian petang semalam yang memetik sumber pihak berkuasa.

Berdasar laporan berkenaan, polis sedang mengesan saksi berkaitan setelah menerima laporan daripada mangsa yang berusia 48 tahun pada 16 Mac lalu.

Menurut sumber Sinar Harian, ‘Datuk’ terbabit bersama isterinya dipercayai datang bermalam di rumah mangsa dan suaminya antara Julai hingga 15 Ogos 2020.

Sumber turut memberitahu bahawa suami mangsa merupakan kenalan kepada isteri Datuk tersebut.

“Suspek bersama isterinya tumpang bermalam setelah datang melawat mangsa dan suaminya di rumah berkenaan.

“Kejadian berlaku antara jam 1 pagi hingga 5 pagi. Mangsa tidur di bilik bersebelahan bilik suspek. Dia kemudiannya tersedar selepas dirinya dicium dan dicabul.

“Pada mulanya mangsa menyangkakan perbuatan itu dilakukan oleh suaminya namun mangsa terkejut apabila mendapati ia dilakukan suspek,” katanya.

Katanya, mangsa pada awalnya tidak membuat laporan polis kerana bimbang keselamatan dirinya dan suami.

Mangsa juga katanya, turut mendakwa suspek mempunyai pistol selain mempunyai sikap panas baran.

“Mangsa juga mendakwa mempunyai hutang sebanyak RM200,000 dengan suspek bagi urusan perniagaan,” katanya.

Baca artikel berkaitan: Cabul jururawat di wad COVID-19, pesakit warga emas ditahan

Cabul anak kandung sejak 2010, Datuk Seri bakal didakwa

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan mengenai laporan polis yang dibuat pada 16 Mac lalu.

“Kes ini masih dalam siasatan dan kita akan kesan saksi yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, laporan berkenaan menarik minat meluas netizen yang turut ingin tahun siapa ahli politik dimaksudkan.

Mereka juga pada masa mengharapkan siasatan dilakukan dengan penuh adil mengikut lunas undang-undang.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram