Kejohanan Malaysia Esports Series (MES) 2021 bakal diadakan pada 26 mac hingga 11 april 2021 menawarkan hadiah utama bernilai RM100,000 kepada juara kejohanan itu.

Lebih 2,000 pemain e-sukan dijangka berentap bagi merebut hadiah keseluruhan bernilai RM100,000 dalam kejohanan Malaysia Esports Series (MES) 2021 yang akan berlangsung bermula 26 hingga 11 April ini.

Kejohanan secara maya itu dijangka mampu menarik lebih 300,000 penonton dari 10 buah negara, bakal menyaksikan peserta berentap dalam permainan FIFA2021, Mobile Legends: Bang Bang dan PUBG.

Pengerusi MES 2021, Muhammad Aimanulhaq Zaharudin berkata, kejohanan yang julung-julung kali diadakan ini mendapat sokongan penuh daripada Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Kesihatan.

“Kejohanan ini terbuka kepada semua dan sesi kelayakan akan bermula pada 26 Mac hingga 4 April 2021. Sesi akhir pula dijadualkan berlangsung pada 9 hingga 11 April ini secara maya,” katanya, dan menambah pihaknya membuka semula pendaftaran PUBG selepas mendapat sambutan memberangsangkan.

“Pihak penganjur terpaksa membuka semula pendaftaran bagi memenuhi permintaan ramai”.

Pengerusi Acara Kejohanan Malaysia Esports Series (MES), Muhammad Aimanulhaq Zaharudin (tengah) bersama Pengurus Pasukan THQ, Iskandar Mirza Mohd Mustafa (kanan) dan Ketua Kewangan THQ, Nur Amirul Afandi (kiri) ketika ditemui di UtusanTV, baru-baru ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

Aimanulhaq turut menyatakan kejohanan yang dianjurkan ini akan menjadi sebahagian pengisian masa yang berguna terutamanya ketika negara masih dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat dan Pemulihan.

Selain itu katanya, MES 2021 juga akan menjadi satu platform bagi peserta dan penonton dapat menggunakan peluang untuk berinteraksi, mempelajari dan mengambil sedikit sebanyak pengalaman daripada pakar e-sukan seperti Xorn Gaming.

“MES ini merupakan satu platform kepada semua pemain dengan menbuka satu ruang untuk menunjukkan bakat dan kekuatan mereka untuk bersaing di peringkat lebih tinggi,” katanya.

Selain itu, pihaknya juga percaya e-sukan juga dapat dijadikan sebagai kerjaya idaman bagi golongan muda.

“Pihak penganjur yakin bahawa industri e-sukan ini dapat berkembang lebih pesat dan Malaysia mampu menjadi hos kejohanan antarabangsa dan dikenali di seluruh dunia.

“Ia juga dilihat dapat merangsang ekonomi negara dengan dapat menarik pihak pelabur dan syarikat luar negara untuk mendirikan pejabat mereka di sini”.

Tawaran hadiah terkumpul sebanyak RM20,000 ditawarkan bagi FIFA2021 dan RM40,000 masing-masing untuk MLBB serta PUBG.


Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram